Selasa, 29 Disember 2015 | 3:52pm

Izzue Islam nafi digam stesen TV

PELAKON, Izzue Islam. - Foto Zunnur Al Shafiq
PELAKON, Izzue Islam. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Berdepan spekulasi kononnya digam stesen televisyen (TV) tempatan, pelakon, Izzue Islam mempertahankan dia masih menerima tawaran menjayakan produk terbitan semua stesen TV.

Izzue yang sebelum ini meletakkan syarat tidak bersentuhan dengan pelakon wanita dalam babak drama atau filem, menyifatkan gosip kononnya dia digam stesen TV sebagai tidak berasas.

Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 25, juga tidak mahu spekulasi digam stesen TV mengeruhkan hubungan baik dengan mana-mana pihak.

"Setakat ini, saya masih lagi menerima tawaran daripada semua stesen TV. Jadi, bagi saya, tidak timbul dakwaan mengatakan saya digam mana-mana pihak.

"Saya juga tidak mendengar perkara ini dibangkitkan media sebelum ini. Saya tidak mahu timbul sebarang masalah dengan memberi kenyataan yang salah berhubung isu terbabit," katanya kepada BH Online.

Izzue berkata, dia sedia menerima tawaran jika pengarah dan penerbit bersetuju dengan syaratnya yang tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita yang digandingkan dalam projek drama atau filem.

Katanya, semua pihak berkepentingan sudah maklum dengan syarat ditetapkannya itu.

Memandang positif dugaan yang menimpa dirinya, Izzue tidak menyalahkan mana-mana pihak dengan kontroversi yang melanda.

Jejaka kelahiran Kelantan itu menganggap semua yang berlaku sebagai lumrah anak seni.

"Tidak kiralah kontroversi timbul selepas mendirikan rumah tangga atau ketika bujang dulu.

"Perkara begini tidak mengira status atau masa. Saya menerima semua kontroversi dengan hati yang reda kerana maklum, ini adalah cabaran dan lumrah sebagai seorang pelakon," katanya.

Dalam perkembangan lain, Izzue sedang menjalani penggambaran telefilem berjudul Sticky Note arahan Mikael Andre untuk saluran Hypp TV.

Telefilem terbitan Dark Wave Production itu mengisahkan pancaroba hidup seorang pemuzik jalanan.

Sementara itu, anggota kumpulan Forteen itu berkongsi rasa teruja pulang dari Itali bersama 40 peminat dalam program anjuran SafiGoTravel.

"Ini adalah tahun ketiga saya meneruskan kerjasama dengan pihak Safigotravel. Kali ini, Itali menjadi pilihan. Sebelum ini, saya berpeluang melawat Disneyland di Hong Kong dan Korea.

"Selain berpeluang melihat keindahan negara orang, saya juga dapat meluangkan masa dengan peminat yang sudi bercuti bersama-sama," kata Izzue.

Berita Harian X