Khamis, 24 Disember 2015 | 4:46pm

Ronnie kongsi mesej positif dengan peminat

PENYANYI, Ronnie Hussein. - Foto Rohanis Shukri
PENYANYI, Ronnie Hussein. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Selepas lagu hit, Dikoyak Waktu, Ronnie Hussein muncul dengan single kedua berjudul Melangkah Laju yang ditujukan khas buat peminat setianya.

Terbukti dengan taruhan baharu itu, bekas vokalis kumpulan Hyper Act itu enggan terikat kepada satu genre.

Kali ini, Ronnie tampil dengan lagu rancak hasil kerjasama dengan penyanyi rap, Iwere.

Ronnie atau nama sebenarnya, Shahron Hussein, 34, berkata kerjasama dengan Iwere membolehkan dia mendekati golongan muda dan pendengar baharu.

"Saya enggan dikenali sebagai penyanyi yang terikat dengan satu genre saja. Malah, kebanyakan lagu saya berkisar cinta dan berentak balada.

"Kali ini, saya tampil dengan lagu rancak bertemakan motivasi yang memuatkan mesej positif kepada pendengar. Saya cuba memberi kelainan untuk mendekati golongan muda.

"Bagi saya, tidak salah untuk saya melakukan eksperimen demi perkembangan kerjaya," katanya kepada BH Online.

Ronnie turut meluahkan rasa teruja berkongsi pentas bersama penyanyi popular Indonesia, Opick pada Konsert Malam Kalimah Cinta di Istana Budaya, malam tadi.

Pada konsert itu, Ronnie mendendangkan dua lagu iaitu termasuk berduet dengan Opick.

Bagi Ronnie, peluang keemasan beraksi bersama Opick menjadi kenangan terindah dalam portfolio kerjaya seninya.

Berita Harian X