Jumaat, 30 Oktober 2015 | 11:24am

Munif Hijjaz terus lebarkan perniagaan restoran

PENGASAS Munif Hijjaz Sdn Bhd, Munir Ahmad. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PENGASAS Munif Hijjaz Sdn Bhd, Munir Ahmad. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Selepas menceburi bidang nasyid, anggota kumpulan Hijjaz, Munif Ahmad sudah awal lagi berniat dan merancang untuk melebarkan sayap perniagaan dengan membuka restoran.

Impian itu akhirnya menjadi kenyataan dengan membuka Restoran Munif Hijjaz D'Greenwood, di Batu Caves, Selangor selama setahun.

Kini beliau beralih pula ke Shah Alam dengan mengambil alih sebuah restoran sedia ada di sana.

Selepas restoran makanan Arab dan Thailand di Batu Caves ditutup kerana kos penyelenggaraan tinggi sekalipun membawa keuntungan, tumpuan Munif kini diberi kepada restoran Munif Hijjaz Papero di Shah Alam sejak hampir sebulan lalu.

Restoran di Shah Alam ini khusus menyediakan makanan Barat termasuk piza selain makanan Arab.

Restoran berkenaan diuruskan di bawah syarikat miliknya, Munif Hijjaz Marketing (MHM) yang ditubuhkan sejak 2010.

Setakat ini MHM sudah menjual 20 produk termasuk minyak wangi dan restoran terbabit. Terbaharu, syarikatnya itu turut menjual minuman berasaskan coklat malt dipanggil Munif Cocoa sejak April lalu.

Pendek kata, Munif memang tak betah duduk diam tanpa memperkasakan jenama syarikatnya.

"Restoran di Shah Alam ini asalnya sudah dibuka sejak awal tahun di bawah nama Papero sahaja oleh individu yang kini menjadi rakan kongsi saya selepas ia diambil alih.

"Dia sendiri sebenarnya sudah mempunyai restoran yang sama di Sri Petaling, Bukit Jalil dan sambutannya cukup baik berbanding di Shah Alam. Iyalah di Shah Alam lebih banyak orang Melayu berbanding di Sri Petaling yang ramai orang dari Timur Tengah.

"Dipendekkan cerita, dia juga sering berkunjung makan ke restoran saya di Batu Caves dahulu dan mengesyorkan untuk dijual restoran di Shah Alam itu," katanya dalam pertemuan dengan BH Online, baru-baru ini.

PENGASAS Munif Hijjaz Sdn Bhd, Munir Ahmad (kiri) bersama Pengarah Urusan Munif Hijjaz, Abdul Malek menunjukkan produk terbaru '' Munif Cocoa '' di Alam Damai, Cheras. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PENGASAS Munif Hijjaz Sdn Bhd, Munir Ahmad (kiri) bersama Pengarah Urusan Munif Hijjaz, Abdul Malek menunjukkan produk terbaru '' Munif Cocoa '' di Alam Damai, Cheras. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Menurut Munif, sekalipun perhatian terhadap dunia perniagaan menjadi keutamaan itu tidak bererti dunia nasyid bersama Hijjaz dilupakan begitu sahaja.

Hampir 20 tahun bersama kumpulan Hijjaz selain pernah tampil dengan projek solo, Munif menjelaskan perjuangannya bersama anggota lain dalam berdakwah tidak akan berkubur semudah itu.

"Sejak empat bulan lalu pun, Hijjaz baharu melancarkan album berjudul Selawat Nabi Volum 2. Kami sebenarnya masih aktif menerima undangan nyanyian.

"Permintaan kami membuat persembahan itu masih tinggi kerana di negara kita ada sahaja majlis yang meraikan bulan tertentu dalam Islam. Pendek kata, undangan persembahan kami tetap meriah.

"Cuma yang kurang ialah daripada sudut penjualan album. Bukan sahaja genre nasyid, artis yang menyanyikan lagu konsep lain pun turut terkesan dengan hal ini.

Mengenai masa depan industri muzik ketika ini, beliau mengakui keadaannya tidak menentu.

"Cuma sejujurnya saya lihat jualan album nasyid lebih baik berbanding genre muzik lain.

"Jualan album juga lebih cenderung dijual secara digital. Kehadiran lagu single juga bertujuan untuk menaikkan pasaran album digital," katanya.

Malah, Munif mengakui penjualan album ketika ini tidak seperti dahulu berikutan saingan media baru.

"Bagi kami di Hijjaz, kehadiran album fizikal ini sebagai isyarat kami masih ada dan kami tidak mahu dianggap kami lenyap begitu sahaja.

"Selalunya peminat kami dari dahulu memang terus menyokong termasuk membeli album fizikal," katanya.

Berita Harian X