Jumaat, 23 Oktober 2015 | 9:20am

Festival Seni Jalanan bakal gegar MaTic November ini

LAMAN sesawang Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di http://www.matic.gov.my/
LAMAN sesawang Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di http://www.matic.gov.my/

KUALA LUMPUR: Pertandingan Buskers dan band Indie antara aktiviti yang bakal menghangatkan 'Festival Seni Jalanan MaTic' (MSAF) yang akan berlangsung pada 7 hingga 8 November ini.

Festival itu yang julung kali dianjurkan oleh Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) turut memperlihatkan pelbagai aktiviti lain seperti persembahan konsert, kartun dan komik, pertandingan bola sepak jalanan, mural dan grafiti, perhimpunan bikers dan trak makanan (food truck).

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata festival itu adalah inisiatif yang baik untuk memperkenalkan kepelbagaian dan keunikan Malaysia kepada pelancong.

Beliau berkata, ia juga boleh menjadi platform untuk menyerlahkan bakat para seniman, artis dan karyawan serta memberi ruang agar mereka dapat mempertontonkan hasil karya mereka kepada orang ramai.

"Festival ini bukanlah sesuatu yang asing di mata dunia malah beberapa negara lain juga telah lama mengadakan program seperti ini," katanya pada sidang media festival itu, di sini.

Penganjuran festival itu secara tidak langsung dapat mempromosikan MaTiC sebagai antara ikon pelancongan Kuala Lumpur dan pusat sehenti maklumat pelancongan.

Artis tanah air yang turut memeriahkan kehangatan festival itu antaranya Akim and the Majistret, Bunkface, Lan Typewriter, S.O.G, Ana Rafali, Shiha, Ainan Tasneem dan Sakura Band.

Pameran 'Flash Hollywood and Football' juga akan turut diadakan di Mini Auditorium dan Galeri MaTiC mulai 6 hingga 8 November ini.

- BERNAMA

Berita Harian X