Isnin, 13 Julai 2015 | 12:48pm

Elfira Loy buka kafe

zaidim@bharian.com.my

ELFIRA Loy atau nama sebenar, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri. - Foto Munira Abdul Ghani
ELFIRA Loy atau nama sebenar, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Selepas menceburi perniagaan skaf dan kemeja T, pelakon genit Elfira Loy akan membuka kafe pula tak lama lagi. Kafe Lovemesevendays itu akan beroperasi di Alam Damai, Cheras.

"Insya-Allah, kafe itu akan menjual makanan tempatan dan barat di Alam Damai, Cheras. Kalau tiada aral melintang, ia akan beroperasi Ogos nanti. Ketika ini kami dalam proses memilih chef, menu makanan dan pekerja. Ia perniagaan keluarga," katanya.

Elfira nampaknya bijak menggunakan pengaruh di laman sosial untuk mempromosikan dunia perniagaannya. Bercerita lanjut mengenai perancangan terhadap perniagaan, Elfira mahu habis-habisan pada tahun depan untuk terus memperkasakan jenama fesyen Twinklebyelfira secara meluas. Ia termasuklah tampil dengan koleksi pakaian kasual 'ready to wear' untuk golongan remaja.

"Untuk projek ready to wear itu saya mahu kumpulkan pasukan yang berminat untuk merealisasikan misi saya. Sambutan kepada jualan skaf dan kemeja T bagi lelaki dan perempuan antara yang terus membakar semangat saya meneruskan apa yang terbuku di hati. Insya-Allah, pastinya saya akan maklumkan apa sahaja perkembangan ini di media sosial.

"Baru-baru ini Twinklebyelfira juga ada mengeluarkan minyak wangi bersaiz poket. Alhamdulillah belum dilancarkan secara rasmi tetapi ketika dipromosikan di setiap acara atau karnival, ia memang laris macam pisang panas," katanya.

Mengenai dunia perniagaan, semuanya tercetus apabila dia bersama rakan kongsi Santhawan berada di Bangkok.

"Ketika itu saya mengacarakan program Mad Markets dan Santhawan menjadi tetamu undangan. Santhawan juga pernah menghasilkan single lagu sebelum ini. Saya tertarik dengan budaya di sana. Malah, orang di sana, jika nak buat sesuatu mereka akan hasilkan sendiri. Daripada situ, saya terfikir apa pula nak buat kalau nak berniaga.

"Santhawan cadangkan saya untuk berniaga skaf. Skaf di Bangkok sangat diminati dan di Malaysia tidak sangat. Skaf di bawah Twinklebyelfira biarpun dijual pada harga RM99 dan saya yakin tak semua yang sanggup mengeluarkan duit untuk membeli dengan harga itu. Tetapi alhamdulillah, skaf itu ada pengikutnya sendiri," katanya.

Berita Harian X