KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Bunkface, Sam menampilkan sisi romantis dirinya dengan mencipta sebuah lagu berjudul Darah Muda khas untuk tunangnya, Aida Azira Husin, 28.
Pasangan ini bakal bernikah pada Sabtu ini bertempat di Dewan Sapura, Seri Kembangan, Selangor.
Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 27, menujukan lagu itu kepada bakal isterinya, yang mana bait-bait lagunya mengisahkan mengenai percintaan sepasang kekasih yang disatukan menerusi ikatan perkahwinan dan berharap agar perkahwinan mereka berkekalan sehingga akhir hayat.
"Sebenarnya saya sudah lama mencipta lagu Darah Muda itu dan ia sememangnya dibuat khas untuk Aida. Genre lagu itu berbeza dari lagu Bunkface yang lain dan sukar untuk saya jelaskan kelainan lagu itu.
"Jika tiada halangan, Insya-Allah lagu ini bakal diputarkan di radio dalam bulan hadapan. Ia akan dimainkan khas ketika majlis perkahwinan kami nanti," kata Sam kepada BH Online.
Selain itu, Aida yang juga penerbit di TV3 bakal menggayakan busana rekaan pereka fesyen terkenal iaitu Lynda Rahim pada hari bahagianya nanti.
Aida enggan berkongsi jumlah hantaran kerana berpendapat ia terlalu peribadi untuk dikongsi umum, manakala mas kahwin berjumlah RM1,000.
Majlis resepsi bagi pihak perempuan dijadualkan berlangsung pada 2 Mei depan di Masjid Tanah, Melaka.
Sam dan Aida mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober 2014.
Pasangan ini memilih Koh Tao, Thailand sebagai lokasi bulan madu kerana mereka sememangnya gemar melancong dan begitu mencintai suasana pantai. Mereka bakal bercuti di Koh Tao untuk tempoh lima hari.