GENTING HIGHLANDS: Bahang Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 kian terasa apabila beberapa artis yang akan menjayakan segmen persembahan pada malam kemuncak anugerah berprestij itu, Ahad ini, sudah mula berkampung di sini, hari ini.
Artis seperti Mark Adam, Elizabeth Tan, Azmil dan Black juga sudah pun memulakan latihan mereka di puncak kota keriangan itu beberapa jam lalu.
Turut terbabit dalam acara persembahan kali ini termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Aweera, Lefthanded, Faizal Tahir, Azlan & The Typewriter, Ayda Jebat dan Akim.
Sementara itu, ABPBH edisi ke-28 menampilkan pentas cukup unik dengan berkonsepkan origami bagi menterjemahkan unsur cinta yang dipilih sebagai tema penganjuran musim ini.
Pencahayaan yang menarik dengan sistem bunyi memuaskan pula, kata Pengurus Hiburan Primework Studios, Muhamad Sufian Isa, memberikan mood kepada artis untuk menghasilkan persembahan terbaik pada malam kemuncak nanti.
"Semua artis yang terbabit dengan persembahan, kecuali Siti dan Dayang, akan menjayakan sesi latihan di sini, hari ini dan esok.
"Segala perancangan dan persiapan pula berjalan lancar, termasuk penyediaan pentas yang direka unik," kata Suffian.