Ahad, 15 March 2015 | 1:06pm

Remy Ishak ikuti kelas renang untuk filem Redha

PELAKON Remy Ishak
PELAKON Remy Ishak

KUALA LUMPUR : Pelakon Remy Ishak mengikuti kelas renang sebanyak empat kali seminggu bagi mendalami wataknya sebagai seorang jurulatih renang untuk filem terbaharu berjudul Redha.

Filem karya Tunku Mona itu menampilkan Remy sebagai jurulatih renang bagi kanak-kanak autisme. Selain perlu menguasai teknik berenang dengan betul, Remy juga perlu mendalami serta mendekati kanak-kanak yang menghidap autisme.

"Saya memang tahu berenang tetapi untuk mendalami watak guru renang maka saya perlu menghadiri kelas bagi memastikan saya 'familiar' dengan pelbagai teknik serta gaya renang yang betul.

"Selain belajar teknik-teknik itu, saya juga perlu memerhatikan cara guru renang itu mengajar kanak-kanak autisme. Jadi saya memperuntukkan tiga hingga empat kali seminggu untuk menghadiri kelas renang itu.

"Kelas renang ini memberikan saya lebih stamina dan cergas namun saya sebenarnya ada kecederaan dulu di bahu kiri dan kadang-kala sakit juga bangun pagi hingga tidak boleh mengangkat barang. Setakat ini ia tidak mengganggu kerja saya dan Insya-Allah saya mencuba yang terbaik untuk menjayakan watak ini," kata Remy ketika ditemui di Drama Festival Kuala Lumpur 2015 di Balai Berita, di sini.

Sementara itu, Remy turut mengulas kenyataan yang mengatakan namanya agak sepi kebelakangan ini. Bagi Remy, dia tidak ralat dikatakan sepi dari persada seni jika tiada produk yang perlu untuk dipromosikan.

"Tidak salah sekiranya saya dikatakan agak sepi kebelakangan ini jika sepi yang dimaksudkan adalah bebas dari gosip serta kontroversi. Orang ramai pun akan bosan jika asyik mengaitkan saya dengan perihal cinta.

"Saya lebih selesa untuk tampil seiring dengan produk kerana dari pemahaman saya lebih baik jika begitu," kata Remy mengakhiri perbualan.

Berita Harian X