Jumaat, 24 Oktober 2014 | 5:00pm

Doa hubungan dengan ibu lebih erat

Afiq kini memberi tumpuan kepada kerjaya dan kebajikan ibunya. - Foto Shahrul M Zain
Afiq kini memberi tumpuan kepada kerjaya dan kebajikan ibunya. - Foto Shahrul M Zain

KONTROVERSI yang dicetuskan oleh mereka bukannya kecil sehingga masing-masing dicemuh dan dilabel sebagai anak derhaka apabila dikatakan bertelingkah dengan ibu sendiri.

Bukan sekadar cerita panas yang mengaitkan diri mereka itu mampu menjejaskan kerjaya seni sendiri, sebaliknya ia turut membuka mata masyarakat untuk mengikuti perkembangan seterusnya dua pelakon ini.

Meskipun, sudah agak lama berlalu, namun tidak dinafikan, episod berkenaan meninggalkan kesan yang cukup mendalam terhadap Afiq Muiz dan Siti Fazurina. Bahkan, masih ada sisa yang berbaki menyebabkan luka yang tercalar sukar untuk diubati.

Cuba memperbaiki kesilapan dan memperbetulkan semula hubungan anak dan ibu, dalam usaha menjernihkan keadaan yang disebabkan kesilapan diri, masing-masing turut menjadikan pengalaman itu sebagai iktibar dan pengajaran.

Muhasabah diri

Mengharapkan hubungan dengan ibunya, Hasliza Mohd, menjadi lebih erat, Afiq kini lebih bermuhasabah dan mencari diri sendiri bagi memperbaiki kesilapan dulu.

Bukan mengungkit perkara lalu, bagaimanapun perubahan dirinya tidak lama dulu dikatakan berpunca daripada hubungannya dengan seorang pelakon.

Sedar akan kesilapan langkahnya, pelakon berusia 22 tahun ini menyifatkan ada hikmah di sebalik kejadian itu, yang menjadikan hubungan mereka dua beranak lebih utuh.

"Saya kini lebih tenang dan baik. Malah, selepas apa yang terjadi, saya jadi lebih matang dan dekat dengan ummi. Segala yang berlaku mengajar saya untuk mencari diri sendiri.

"Saya masih muda dan setiap orang pasti melakukan kesilapan serta kesalahan. Bagi saya, apa yang terjadi itu saya ambil sebagai teladan dan belajar daripadanya untuk memperbaiki diri," katanya.

Lebih peka peranan sebagai anak

Tidak menganggap kontroversi tercetus melonjakkan lagi namanya dalam industri seni, sebaliknya anak muda ini mengakui ia menyedarkan dirinya terhadap peranan sebagai anak.

Pada masa sama beliau bersyukur, hubungan yang kembali terjalin antara mereka membuatkan dirinya kembali dilimpahi rezeki.

Enggan lagi berbicara soal cinta, Afiq menegaskan, perjalanannya kini lebih tertumpu kepada kerjaya dan perihal menjaga ibunya.

Bukan menolak terus soal percintaan, sebaliknya bakat muda ini lebih selesa mencari seorang calon isteri, daripada menghabiskan masa dengan bercinta.

"Apa yang terjadi sebelum ini sudah cukup mengajar saya mengenai erti percintaan. Kalau betul-betul serius dalam perhubungan, lebih baik kahwin daripada bercinta, yang belum tentu kesudahannya," katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 140 episod berjudul Love To Remember.

Berasakan dirinya bertuah apabila kontroversi yang berlaku tidak menjejaskan perjalanan kerjaya seninya dan beliau sendiri masih diterima, Afiq juga memaklumkan kini mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan pakaian yang diusahakan secara kecil-kecilan di Dataran Underground, Dataran Merdeka.

Siti Fazurina kini lebih memilih watak selepas berhijab. - Foto Nashairi Mohd Nawi
Siti Fazurina kini lebih memilih watak selepas berhijab. - Foto Nashairi Mohd Nawi

Enggan keruhkan keadaan

Andai Afiq dan Hasliza sudah kembali baik, Siti Fazurina pula seperti cuba menyembunyikan sesuatu apabila ditanya mengenai hubungan dengan ibunya yang renggang sejak setahun lalu.

Cuba mengelak daripada menyentuh mengenai perhubungan mereka, pelakon yang mesra disapa dengan panggilan Nina ini sekadar memberikan jawapan 'OK' saat merujuk kepada hubungan dengan ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 62.

"Hubungan kami OK, insya-Allah. Nina tidak mahu bercakap panjang mengenai perkara ini kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Apa yang Nina boleh cakap, ia menuju ke arah yang baik.

"Apa yang terjadi sudah cukup menyedarkan Nina. Setiap orang ada melakukan kesilapan dan kesalahan. Nina tahu dan sedar sudah melakukan perkara yang salah, tetapi berkat kesabaran dan kekuatan yang Allah berikan, Nina mengharapkan hubungan baik dengan keluarga," katanya.

Hubungan dua beranak ini difahamkan renggang selepas perkahwinan pelakon berusia 32 tahun itu dengan Hykal Zulkifli, 33. Ikatan itu dikatakan tidak mendapat restu ibu dan Nina sendiri membelakangi keluarganya ketika bernikah.

Takkan berhenti berlakon

Kurang aktif dalam bidang seni selepas berumah tangga pula bukanlah kerana beliau tidak mendapat sebarang tawaran dek kontroversi yang melanda diri, sebaliknya kata Siti Fazurina, dirinya lebih selektif dalam menerima tawaran.

Semua itu dilakukan kerana perubahan dirinya yang kini sudah berhijab.

"Bidang seni sudah menjadi darah daging Nina. Sejak kecil lagi Nina sudah menyimpan minat untuk menjadi pelakon. Jadi, agak mustahil untuk Nina meninggalkan bidang ini. Cuma, Nina sekarang lebih memilih watak yang tidak menjejaskan imej sekarang.

"Nina juga baru saja berjinak-jinak dalam bidang perniagaan busana muslimah secara atas talian, Nina Fazurina Collection, sejak awal tahun lalu. Insya-Allah, Nina akan membuka butik di Busana Mall dalam masa terdekat," katanya yang turut membintangi drama Misiku Kuza.

Masih menjadikan lakonan sebagai bidang utama, beliau bagaimanapun dapat melihat bidang perniagaan turut menyaksikan perkembangan positif dalam membantu kehidupan golongan seni sepertinya.

Berita Harian X