Sabtu, 22 April 2017 | 7:06am

Didikan agama benteng remaja tolak gengsterisme

Remaja yang mengenal agama dengan baik akan terbiasa melakukan ibadah dan memiliki tingkah laku yang baik. - Gambar hiasan
Remaja yang mengenal agama dengan baik akan terbiasa melakukan ibadah dan memiliki tingkah laku yang baik. - Gambar hiasan

Semakin negara membangun menuju status negara maju, perkembangan remaja juga dilihat semakin maju seiring kemajuan teknologi. Pencapaian remaja dalam bidang pendidikan dan inovasi juga sangat membanggakan sehinggakan mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Namun ada juga segelintir remaja yang tidak selari dengan kemajuan negara. Mereka terjerumus dalam masalah sosial yang boleh menghancurkan masa depan. Peningkatan remaja yang terbabit dengan gejala sosial dilihat semakin membimbangkan.

Tambahan pula, kecanggihan teknologi masa kini menjadi punca masalah sosial remaja semakin meningkat dan tidak terhad di bandar sahaja. Lebih menyedihkan remaja seawal 11 tahun juga terbabit dengan masalah sosial seperti merokok. Satu lagi masalah yang sering kali berlaku dalam kalangan remaja ialah gengsterisme.

Aktiviti gengsterisme termasuk peras ugut, buli, ponteng sekolah, melepak, merokok dan lain-lain lagi. Kebanyakan remaja yang terbabit adalah pelajar sekolah. Kebiasaannya, mereka melakukan kesalahan disiplin dan melanggar peraturan sekolah.

Semakin ramai ahli kumpulan, mereka akan rasa diri mereka kuat dan mampu menindas orang lain yang dianggap lemah.

Pengaruh rakan sebaya

Gengsterisme dalam kalangan remaja bukanlah isu baru. Namun, pada era globalisasi ini, gejala ini semakin menimbulkan kebimbangan masyarakat. Antara faktor mendorong aktiviti gangsterisme ini ialah pengaruh rakan sebaya. Remaja yang tidak mempunyai jati diri yang kuat mudah terikut dengan rakan yang mempunyai pengaruh negatif.

Selain itu, remaja kekurangan kasih sayang ibu bapa. Segelintir ibu bapa lupa akan tanggungjawab mereka memberikan perhatian dan kasih sayang mendorong remaja bergiat aktif dalam aktiviti gengsterisme ini. Seterusnya, pengaruh media massa. Kebanyakan filem banyak menjurus kepada masalah sosial dan aksi ganas menyebabkan mereka terikut-ikut.

Justeru, didikan agama yang kuat sejak kecil amat penting dalam membentuk sahsiah dan peribadi manusia ke arah yang lebih baik pada masa depan. Apabila remaja mengenal agamanya dengan baik dan melakukan ibadah seperti menunaikan solat, membaca al-Quran dan amalan lain sejak kecil lagi, maka mereka akan terbiasa melakukan ibadah dan tingkah laku yang baik dalam kehidupan seharian sehingga dewasa.

Ibu bapa juga berperanan mencorakkan akhlak yang baik dan membentuk jati diri yang unggul agar anak menjadi manusia yang berguna pada masa depan. Anak yang telah terdidik dengan nilai agama yang baik mampu membezakan antara perkara yang baik dan buruk.

Didikan ibu bapa

Keperibadian anak pada masa depan adalah bergantung kepada bagaimana cara ibu bapa mendidik dan mencorakkan anak pada masa sekarang sama ada baik atau sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi...(riwayat Bukhari dan Muslim).

Tuntasnya, masalah gengsterisme hendaklah ditangani dengan segera agar dapat membentuk generasi bertamadun pada masa depan. Didikan agama peranan paling utama dalam menangani masalah sosial yang semakin menular dalam diri pelajar.

Remaja yang mempunyai nilai agama kuat dan pembentukan akhlak baik mampu menjadi benteng daripada terjebak dengan aktiviti tidak bermoral seperti gengsterisme.

Penulis dari Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X