X
Jumaat, 17 Februari 2017 | 7:13am

Persamaan kes Batu Puteh, Sensaku

 KURATOR Muzium Yaeyama, Pulau Ishigaki, Jepun, Kazuhiko Yaekawa menunjukkan surat penghargaan diberikan Konsul China di Nagasaki, yang mengiktiraf Pulau Sensaku milik Jepun.
KURATOR Muzium Yaeyama, Pulau Ishigaki, Jepun, Kazuhiko Yaekawa menunjukkan surat penghargaan diberikan Konsul China di Nagasaki, yang mengiktiraf Pulau Sensaku milik Jepun.

KETIKA isu Batu Puteh (Pedra Branca), yang terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor timbul semula baru-baru ini berikutan penemuan dokumen baharu, jauh di Jepun sana pula timbul isu sama - wujud persamaan seperti dialami Pulau Sensaku (Diaoyu).

Jika perebutan kedaulatan Batu Puteh adalah antara Malaysia dan Singapura, Sensaku pula antara Jepun dan China.

Penemuan tiga dokumen yang diperoleh dari Arkib Negara United Kingdom (UK) pada 4 Ogos 2016 hingga 30 Januari lalu, disifatkan sebagai fakta baharu menyokong permohonan semakan semula keputusan berkaitan kedaulatan Batu Puteh. Kandungan dokumen fakta baharu itu adalah urusan surat menyurat dalaman pihak berkuasa penjajah Singapura pada 1958; laporan kejadian oleh pegawai angkatan tentera laut British yang difailkan pada 1958 dan peta beranotasi operasi tentera laut dari 1960-an.

Dokumen itu menunjukkan pegawai tertinggi pejabat penjajah British dan pentadbiran Singapura menggunakan tetapan Batu Puteh bukan sebahagian wilayah kedaulatan Singapura dalam urusan surat menyurat dalam tempoh 1958-1960-an. Itu isu Batu Puteh.

Kisah Sensaku pula hampir sama. Persidangan Suruhanjaya Ekonomi Asia dan Timur Jauh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1968 mendedahkan laporan kewujudan konsesi sumber minyak dan hidrokarbon di dasar perairan terdekat Laut China Timur. Sejak itu, Taiwan dan China secara tiba-tiba mendakwa pulau berkenaan sebagai wilayah kedaulatan negara masing-masing.

Walhal, sekitar Jun 1971, Perjanjian Penyerahan Okinawa ditandatangani Jepun, yang termaktub kawasan Kepulauan Sensaku sebagai sebahagian jajahan dan dikembalikan kepada Jepun. Tidak terkecuali, pada Januari 1895, Pulau Sensaku dipersetujui kabinet Jepun diletakkan di dalam pentadbiran Wilayah Okinawa, manakala Amerika Syarikat pada September 1951 mengakui Sensaku sebahagian Kepulauan Nasei Shoto, Jepun.

China ceroboh perairan Jepun

Bagaimanapun, selepas lebih 120 tahun 'pemilikan' Jepun, China dilihat semakin agresif cuba merebut kembali kedaulatan pulau dengan melancarkan Zon Kedudukan dan Undang-Undang Wilayah Laut pada 1992, menghantar dua kapal menceroboh perairan Jepun (2008) dan zon pertahanan udara (ADIZ) (2013).

Merujuk sejarah pada 1920, Konsul China di Wilayah Nagasaki, dalam urusan surat menyurat penghargaan kepada Datuk Bandar Ishigaki, Zensa Toyokawa, ketika itu menggunakan alamat sebagai Pulau Sensaku, Yaeyama, Wilayah Okinawa, Empayar Jepun.

PULAU Sensaku.
PULAU Sensaku.

Kurator Muzium Yaeyama, Kazuhiko Yaekawa, mengakui China menghantar surat penghargaan yang ditulis dalam bahasa Mandarin itu selepas insiden menyelamatkan mangsa lemas warganegara China di Kepulauan Sensaku.

"Surat penghargaan ini diberikan kepada tujuh orang, termasuk seorang warganegara Taiwan, yang ketika itu bekerja sebagai nelayan di Ishigaki kerana menyelamatkan nelayan China," katanya kepada wartawan jemputan Pogram Kementerian Luar Jepun, di Tokyo, baru-baru ini.

Perebutan terhadap Pulau Sensaku, dipercayai serpihan pulau baki Ishigaki, jajahan takluk Jepun semakin hebat kerana memiliki potensi Zon Eksklusif Ekonomi (ZEE), kaya sumber perikanan komersial seperti tuna, tongkol, todak dan jenahak. Dasar laut perairan Sensaku adalah lokasi pertembungan dua unsur suhu laut, hangat dan sejuk, iaitu dari Kuroshio, Jepun dan Laut China Timur, menyebabkannya dikerumuni pelbagai spesis akuatik.

Imej satelit dikeluarkan Jabatan Pembangunan dan Polisi Bandar Ishigaki, pada Julai hingga September 2013 menunjukkan parameter permukaan air laut permukaan perairan Sensaku sekitar 29 darjah Celsius. Suhu sesuai untuk membiak klorofil, pigmen fotosintetik fitoplankton (alga dan tumbuhan kecil terapung sumber asas bahan makanan haiwan akuatik) menyebabkan lokasi berkenaan menjana rantaian makanan akuatik stabil sebagai lubuk perikanan.

Seorang nelayan persendirian, Yoji Gushiken, 60, mengakui Pulau Sensaku kaya sumber perikanan sukar diperoleh, selain tuna besar dengan berat mencecah lebih 60 kilogram seekor.

Berpengalaman 40 tahun sebagai nelayan pantai sepenuh masa sebelum beralih sebagai nelayan laut dalam, Yoji berkata, kebanyakan nelayan boleh memilih mana-mana lokasi di perairan Jepun mencari nafkah. Bagaimanapun, perairan Yaeyama dan Pulau Sensaku menjadi pilihan utama.

Pendapatan nelayan terjejas

Pada pertemuan itu, Yoji bersama empat rakan yang juga juragan bot nelayan, yang bergantung penuh kepada sumber tangkapan ikan bagaimanapun mengakui pendapatan mereka terjejas selepas bot kawalan keselamatan China meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan.

"Sejak empat tahun lalu, kami sudah tidak pergi ke kawasan Pulau Sensaku kerana risau ancaman pihak berkuasa yang menjalankan rondaan, selain keselamatan apabila berdepan ribut taufan. Saya pernah mengalami peristiwa ngeri dengan kapal kawalan keselamatan China apabila dihalau dengan kasar ketika memancing berseorangan di kawasan perairan berdekatan Pulau Sensaku," katanya.

Menjelaskan pasukan rondaan kawalan maritim, Pengawal Pantai Jepun turut menjalankan rondaan dan kawalan di perairan berkenaan, Yoji bagaimanapun berkata, sukar berhubung kerana tiada peralatan komunikasi, selain lokasi perairan itu jauh dari Pulau Ishigaki.

Berita Harian X