PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) meneruskan usaha dalam menjadikan pusat pentadbiran persekutuan ini sebagai pusat kegemilangan kesenian dan kebudayaan Islam alaf baharu melalui penganjuran Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2016 yang bermula semalam hingga 11 Disember ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Bertemakan Keagungan Seni Tekstil Dunia Islam, PIIACUF yang memasuki edisi tahun keempat, memaparkan keunikan serta keindahan kesenian tekstil dari negara antarabangsa.
Naib Presiden Perkhidmatan Korporat, Datuk Rogaizat Abdullah, berkata beberapa pembaharuan diadakan bersempena penganjuran PIIACUF 2016 kali ini atas sambutan menggalakkan daripada pengunjung termasuk penyertaan dari negara luar.
Rogaizat berkata, lokasi penganjuran turut diubah ke PICC bagi memberi keselesaan kepada pengunjung termasuk pertambahan yang semakin meningkat dari kalangan pempamer khususnya dari pelbagai agensi.
"Antara keunikan PIIACUF 2016 yang akan dibawakan kepada pengunjung adalah hasil kreativiti jahitan, tenunan, sulaman, tekat, ikat serta yang dibawa khas oleh pempamer.
"PIIACUF 2016 ini akan dibuka kepada pengunjung bermula dari jam 9 pagi sehingga 11 malam. Sebanyak 10 negara menyertai festival ini termasuk Malaysia dan negara luar iaitu dari Oman, Uzbekistan, Kuwait, Iran, Brunei, Indonesia, China, Bangladesh dan Turki," katanya
Replika jubah Nabi Adam
Rogaizat berkata, satu tarikan pameran pada kali ini adalah replika jubah Nabi Adam yang berukuran 29 meter labuh dan sembilan meter panjang yang disediakan oleh Yayasan Restu.
Katanya, sepanjang festival ini PPj turut menyediakan perkhidmatan bas shuttle percuma dari beberapa lokasi terdiri dari Putrajaya Sentral, tempat letak kereta berhadapan Hotel Pullman dan tempat letak kereta bertingkat Presint 4.
Sasar 500,000 pelawat
Beliau turut menyeru orang ramai datang beramai-ramai memeriahkan program yang diadakan secara percuma itu serta mensasarkan lebih 500,000 pengunjung akan hadir kerana diadakan bersempena cuti persekolahan.
"Antara aktiviti yang akan diadakan terdiri dari demonstrasi kaligrafi permaidani dari Bangladesh dan Kuwait, gerai pameran dan jualan, forum, klinik al-Quran, demonstrasi khat, selawat bersama Habib Syech Assegaf, pertunjukan fesyen Islam serta persembahan kebudayaan.