Rabu, 28 September 2016 | 7:14am

Sampai masa gubal Kanun Wakaf Negara

DI bawah KTN, apabila tanah bertempoh atau pajakan habis tempohnya, ia kembali kepada pihak berkuasa negeri kecuali pemiliknya memohon tempoh itu diperbaharui. - Foto hiasan
DI bawah KTN, apabila tanah bertempoh atau pajakan habis tempohnya, ia kembali kepada pihak berkuasa negeri kecuali pemiliknya memohon tempoh itu diperbaharui. - Foto hiasan

BARU-BARU ini saya bertanya seorang rakan yang arif dalam perundangan Islam: "Apakah mungkin suatu hari nanti kita ada Kanun Wakaf Negara?" Selepas berfikir seketika, beliau menjawab: "Barangkali sukar, kerana isu ini dalam bidang kuasa negeri."

Saya tidak kecewa dengan jawapannya kerana inilah pendekatan kita sejak dahulu lagi. Jika sesuatu isu itu terletak dalam bidang kuasa negeri, memang sukar melihat kemajuan atau perkembangan mengenainya pada peringkat kebangsaan. Contohnya, cadangan pindaan Enakmen Tanah Rizab Melayu yang dikemukakan lebih sedekad lalu. Walaupun cadangan itu amat baik dan disokong banyak pihak, hingga kini tiada perkembangan.

Pengalaman silam mengajar kita walaupun sesuatu isu itu tertakluk di bawah bidang kuasa negeri, ia tidak secara mutlak menghalang satu undang-undang digubal pada peringkat Persekutuan. Contohnya, walaupun perkara 'tanah' adalah dalam bidang kuasa negeri (dinyatakan secara khusus dalam Jadual Kesembilan, Senarai 2), itu tidak menghalang Parlimen meluluskan Kanun Tanah Negara 1965 (KTN). KTN diluluskan Parlimen di bawah Perkara 76 Fasal (4) Perlembagaan Persekutuan (iaitu mencapai matlamat keseragaman undang-undang).

KTN diperbaharui

Seperti kita sedia maklum, KTN diperbaharui lagi tahun ini apabila Rang Undang-undang Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2016 diluluskan Parlimen dan kini hanya menunggu dikuatkuasakan kerajaan negeri. Berpandukan amalan kita mengenai penggubalan KTN masa lalu, tidak bolehkah Perkara 76 Fasal (4) dijadikan landasan bagi Kerajaan Persekutuan menggubal satu Rang Undang-Undang Kanun Wakaf Negara?

Di sini, kita mungkin berdepan halangan, kerana jika dibaca dengan teliti Fasal (4) itu, ia hanya tertumpu kepada isu tanah (seperti pemegangan tanah, pajakan dan penyewaan, pindah milik, gadaian, pendaftaran, pengambilan, kadar dan penilaian tanah). Istilah 'wakaf' tidak dinyatakan dalam Fasal (4) itu. Yang ada hanya perkataan 'dan lain-lain hak dan kepentingan mengenai tanah.'

Soalnya, apakah tujuh perkataan ini boleh ditafsirkan sebagai merangkumi 'tanah wakaf' iaitu tanah beri milik (alienated land) atau tanah persendirian yang kemudian diwakafkan pemiliknya? Di bawah KTN, tanah beri milik (tanah persendirian) terbahagi kepada dua. Pertama, tanah milik kekal (freehold) dan kedua, tanah bertempoh, tidak melebihi 99 tahun (pajakan biasa disebut leasehold).

Apabila KTN dikuatkuasakan, tidak sukar mendapatkan tanah milik kekal daripada pihak berkuasa negeri, tetapi akibat perubahan dasar kerajaan dan pindaan KTN pada 1980-an, pihak berkuasa negeri hanya memberi milik tanah jenis bertempoh. Apabila tanah jenis kedua ini dijadikan tanah wakaf oleh pemilik asal, apakah yang berlaku apabila tempoh 99 tahun itu berakhir?

Di bawah KTN, apabila tanah bertempoh atau pajakan habis tempohnya, ia kembali kepada pihak berkuasa negeri kecuali pemiliknya memohon tempoh itu diperbaharui. Jika tanah tanah bertempoh atau pajakan diwakafkan dan tempohnya tidak diperbaharui pihak bertanggungjawab mengurus dan mentadbirnya, apakah tanah wakaf itu juga akan kembali kepada pihak berkuasa negeri? Jika kita teliti semula niat Parlimen di sebalik seksyen 4(2)(e) KTN, apakah ini tidak bermakna kanun itu tidak boleh dipakai lagi kepada tanah yang diwakafkan?

Dari sudut perundangan Islam, apabila tanah beri milik diwakafkan pemilik asalnya, hartanah itu menjadi milik Allah. Berdasarkan pengalaman selama ini, harta wakaf itu boleh diambil secara paksa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Pampasan diterima melalui pengambilan tanah itu akan digunakan untuk beli hartanah lain di bawah prinsip 'istibdal'.

Di Kedah, antara contoh pelaksanaan prinsip 'istibdal' ini membabitkan tapak tanah dan surau di tengah bandar Alor Setar yang kini sebahagian Kompleks Aman Sentral. Andainya Kanun Wakaf Negara dapat diwujudkan, penyelesaian beberapa isu penting (termasuk apa yang dinyatakan di atas) boleh dicapai dengan lebih adil dan sempurna lagi.

Masih ada banyak kelemahan dan kekurangan dalam KTN berhubung tanah wakaf. Pada hemat saya, kita tidak wajar terus bergantung kepada peraturan dan prosedur tanah wakaf dalam KTN, sebaliknya mewujudkan kanun wakaf baharu dan lebih sempurna. Melihat situasi di luar negara, Kerajaan India meluluskan Akta Wakafnya seawal 1810, yang kemudian diperbaharui dan dikenali dengan nama Akta Wakaf 1995, dikuatkuasakan di seluruh negara itu kecuali Jammu dan Kashmir - dua wilayah terbabit ada undang-undangnya sendiri iaitu Akta Harta Wakaf Tertentu Jammu dan Kashmir 2004.

Saya sempat meneliti kandungan Peraturan Pajakan Harta Wakaf 2014 ini dan mendapatinya boleh dijadikan contoh awal andainya kita ingin menggubal peraturan mengenai pajakan atau penyewaan harta wakaf di sini. Selain India, ada negara lain yang telah meluluskan akta atau ordinan wakaf, misalnya Pakistan (Ordinan Wakaf 1979) di beberapa wilayahnya, Bangladesh (Ordinan Wakaf 1962), dan Indonesia (Akta Wakaf 2004).

Pelan transformasi wakaf

Di Malaysia, Enakmen Wakaf diluluskan di Selangor (1999), diikuti Melaka (2005) dan Negeri Sembilan (2005). Di negeri lain, undang-undang wakaf terkandung dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri, situasi yang belum boleh dibanggakan.

Landskap pentadbiran dan pengurusan wakaf di negara ini sudah banyak berubah. Skop wakaf juga berkembang, tidak lagi terhad kepada hartanah. Agensi awam yang mentadbir wakaf juga diperkasakan. Saya dimaklumkan sudah ada pelan transformasi wakaf pada peringkat kebangsaan. Mengambil kira semua perkembangan terkini, tidakkah sampai masanya Kanun Wakaf Negara juga digubal?

Penulis ialah Pengamal undang-undang dan bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X