Ahad, 24 Julai 2016 | 6:28am

Hak wanita dalam harta sepencarian

Zainul Rijal, Shadiah dan Noor Aziah pada Forum Hak-Hak Wanita Menurut Syarak dan Perundangan Islam di Masjid Wilayah Persekutuan, baru-baru ini. - Foto Saifullizan Tamadi/BH
Zainul Rijal, Shadiah dan Noor Aziah pada Forum Hak-Hak Wanita Menurut Syarak dan Perundangan Islam di Masjid Wilayah Persekutuan, baru-baru ini. - Foto Saifullizan Tamadi/BH

Wanita Islam lebih mudah menuntut harta sepencarian apabila berlaku perceraian, malangnya masih ramai tidak membuat tuntutan kerana gagal mengenal pasti hak mereka mengikut syarak dan perundangan Islam.

Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata isteri perlu faham apa sahaja harta yang dibeli oleh suami dalam tempoh perkahwinan walaupun di atas namanya, ia tetap tertakluk kepada harta sepencarian.

"Wanita Islam lebih mudah menuntut harta sepencarian kerana ia layak bagi mereka sama ada yang bekerja atau tidak selagi menjalankan tanggungjawab dengan baik termasuk menjaga anak dan rumah tangga sepanjang perkahwinan.

"Bagaimanapun, ramai tidak tahu mengenai hak mereka, sehingga banyak kes wanita tidak menuntut pun harta sepencarian selepas bercerai," katanya pada Forum Hak-Hak Wanita Menurut Syarak dan Perundangan Islam yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Tunggu 15 tahun

Berkongsi kisah mengenai isteri hanya menuntut harta sepencarian selepas bercerai hampir 15 tahun, Noor Aziah berkata, disebabkan tidak mengetahui hak, wanita itu membawa keluar anak untuk pulang ke kampung selepas dihalau dan diceraikan suami yang berkahwin lain.

Sepanjang perkahwinan, beliau dan suami membangunkan tanah FELDA tetapi tidak menuntut apa-apa selepas bercerai. Wanita itu hanya sedar mengenai hak yang diabaikan itu selepas 15 tahun dan bekas suami sudah meninggal.

"Dia membuat tuntutan harta sepencarian dan mahkamah dalam penghakiman memberitahu dia berhak mendapat satu perenam daripada tanah kerana ia diusahakan secara bersama ketika masih suami isteri," katanya.

Noor Aziah berkata, ada wanita yang tidak menuntut harta sepencarian kerana terkilan apabila proses tuntutan mengambil masa panjang sehingga perlu turun naik mahkamah bertahun-tahun. Disebabkan itu, mereka tidak menuntut harta sepencarian kerana tidak mampu membiayai kos peguam.

Salah faham

Forum Hak-Hak Wanita Menurut Syarak dan Perundangan Islam anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) itu bertujuan membuka mata wanita terhadap hak isteri daripada aspek perundangan Islam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata ketidakfahaman terhadap undang-undang keluarga Islam menyebabkan ramai wanita berasakan diri teraniaya.

"Banyak salah faham berlaku terhadap undang-undang keluarga Islam, sedangkan isteri berhak mendapat tuntutan harta sepencarian jika berlaku perceraian atau suami meninggal dunia.

"Jika dokumen tuntutan lengkap, saya percaya setiap kes boleh diselesaikan dengan cepat sebelum daripada perbicaraan," katanya pada program yang dikendalikan oleh pendakwah bebas, Shadiah Abbas.

Berita Harian X