Sabtu, 2 Julai 2016 | 5:51am

Setiap sen kutipan zakat secara telus

Perlembagaan Persekutuan menyatakan urusan berkaitan zakat adalah termasuk di dalam hal ehwal agama yang diletakkan di bawah bidang kuasa negeri.

Di Wilayah Persekutuan, zakat diuruskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Saban tahun, kutipan zakat di Wilayah Persekutuan menunjukkan peningkatan. MAIWP menubuhkan Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ-MAIWP) untuk menguruskan kutipan zakat harta. Pelbagai inisiatif diambil dan Alhamdulillah, kutipan zakat meningkat. Terima kasih diucapkan kepada pembayar zakat yang menunaikan kefarduan berzakat kepada MAIWP.

Zakat yang dikutip kemudiannya diagihkan MAIWP. Menyedari amanah pembayar zakat yang mahu melihat zakat dimanfaat dan diagihkan kepada mereka yang layak, maka MAIWP sudah melaksanakan pelbagai bentuk program agihan zakat.

Sebanyak 28 skim bantuan zakat sudah diwujudkan. Mengambil contoh seorang yang dikategorikan sebagai fakir atau miskin, MAIWP akan membantu dengan menyalurkan Bantuan Kewangan Bulanan. Mereka menerima bantuan zakat ini setiap bulan antara RM250 hingga RM700 dan sehingga kini hampir 28,000 orang menerima bantuan zakat bulanan ini.

Selain itu, anak mereka dibantu persekolahan daripada peringkat sekolah rendah sehingga pengajian tinggi. Bantuan zakat bukan hanya diberikan kepada pelajar dalam bidang agama, bahkan diberikan juga kepada pelajar dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya.

Zakat sewa rumah

MAIWP turut menyalurkan bantuan zakat sewa rumah sekiranya mereka tidak berkemampuan. Jika ada dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit dan memerlukan kewangan untuk rawatan, maka MAIWP menyalurkan bantuan zakat perubatan. MAIWP kini sedang menanggung 409 pesakit buah pinggang menjalani rawatan hemodialisis yang menelan kos antara RM2,500 hingga RM3,500 sebulan. Mereka hanya perlu datang ke panel rawatan yang dilantik oleh MAIWP dan mendapatkan rawatan secara percuma.

Namun, sering juga viral (di media sosial) mengenai tindakan umat Islam mendapatkan bantuan segera di gereja. Di MAIWP, ada Bantuan Kecemasan yang memberikan bantuan dengan kadar segera kepada mereka yang ditimpa musibah, putus mata pencarian dan sebagainya. Begitulah antara 28 skim bantuan yang diwujudkan untuk menyantuni golongan asnaf.

Dalam skala yang lebih besar, dana zakat yang diterima dimanfaatkan dalam bentuk program agihan zakat secara tidak langsung. Menerusi program ini, MAIWP menubuhkan institusi pendidikan. Anak daripada keluarga asnaf ini akan diberikan ilmu pengetahuan dan akhirnya diharap menjadi ejen mengeluarkan keluarga daripada kepompong kemiskinan.

Sebanyak sembilan institusi pendidikan sudah ditubuhkan oleh MAIWP antaranya, Sekolah Menengah Agama MAIWP, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Institut Kemahiran Baitulmal, Institut Profesional Baitulmal dan Kolej Antarabangsa Sains Perubatan PUSRAWI, Pondok Moden Al-'Abaqirah dan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah. Ramai pelajar dan graduan yang lahir dari sini sudah berjaya dan akhirnya menjadi pembayar zakat pula.

Ketelusan pengurusan zakat

Setiap sen zakat yang ingin dibelanjakan perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia kemudiannya perlu dipersetujui oleh Mesyuarat MAIWP dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum boleh dibelanjakan.

Perbelanjaan zakat itu seterusnya akan diaudit iaitu secara dalaman oleh Audit Dalaman MAIWP dan seterusnya oleh Jabatan Audit Negara. Laporan yang sudah diaudit itu kemudiannya dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri dan akhirnya dibentangkan di Parlimen Malaysia.

Alhamdulillah, MAIWP sudah menerima Sijil Audit Bersih sembilan tahun berturut-turut sejak 2006 dan penarafan empat bintang bagi Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan daripada Jabatan Audit Negara selama tiga tahun berturut-turut pada 2011 hingga 2013.

Untuk makluman juga, agihan zakat di Malaysia menjadi contoh kepada negara MABIMS (Pertemuan Dwi Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura).

MAIWP pada 2014 dipilih menjadi tuan rumah untuk menganjurkan Bengkel Teknikal Amalan Terbaik Pembasmian Kemiskinan pada 11-13 Ogos 2014 dan MAIWP berkongsi pengalamannya di bengkel itu.

Zakat turut dimanfaatkan menerusi kerjasama Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) melalui Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1 Malaysia MAIWP-Hospital Putrajaya, Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang dan Kedai Rakyat MAIWP.

Projek Pusat Pembedahan Katarak sudah membolehkan MAIWP dinobatkan Jabatan Paling Inovatif Jabatan Perdana Menteri 2015 atas manfaatnya yang besar kepada masyarakat.

Begitulah MAIWP sebaik mungkin mengagihkan zakat yang dibayar oleh pembayar zakat. Semoga pembayar zakat dibalas oleh Allah SWT dengan ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Semoga sedikit perkongsian mengenai aktiviti agihan zakat yang dijalankan ini dapat menjawab persoalan dan kekeliruan pengagihan zakat.

Kita yakin dan percaya agensi mengurus zakat di negeri lain turut proaktif dalam mengagih zakat yang sudah dibayar. Terima kasih pembayar zakat.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)

Berita Harian X