Jumaat, 24 Jun 2016 | 7:00am
GAMBAR hiasan. - Sumber Google
GAMBAR hiasan. - Sumber Google

Zikir beri ketenangan, dekat kepada Pencipta

MANUSIA yang sentiasa mengingati Allah SWT akan beroleh keuntungan abadi di dunia dan akhirat. Mereka yang sentiasa membasahkan lidah dengan zikir akan mendapat penghormatan tinggi serta rahmat daripada Allah SWT.

Malah, ketika hidup di dunia, mereka yang sentiasa berzikir dan mengingati Allah SWT, perasaan serta jiwa akan sentiasa tenang walau apa juga cabaran yang mendatangi hidup mereka. Itulah kelebihan di dunia yang dijanjikan Allah SWT kepada mereka.

Orang beriman hati tenteram

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Orang yang beriman hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar keutamaannya daripada ibadah yang lain. Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Oleh itu, bagi yang ingin memperoleh rahmat Allah SWT hendaklah sentiasa mengingati Allah SWT serta rajin-rajinlah membasahkan bibir dengan zikrullah.

Ingat kebesaran Tuhan

Hanya dengan mengingati serta sentiasa mengagungkan kebesaran Allah SWT akan mendekatkan hamba kepada Pencipta-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Berita Harian X