Selasa, 8 March 2016 | 10:33am
Rohani merakam kenangan disalah sebuah majlis.
Rohani merakam kenangan disalah sebuah majlis.

Hari Wanita Antarabangsa bawa pengertian tersendiri

BERTEMAKAN 'Kesaksamaan Gender', Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2016 (HWA2016), hari ini disifatkan sebagai platform terbaik bagi meraikan pencapaian golongan wanita yang merangkumi pelbagai aspek, termasuk sosial, ekonomi dan politik.

Malah, pemilihan tema itu juga menepati aspirasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mencapai sasaran 30 peratus pembuat dasar, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta, terdari dari golongan wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim, berkata kerajaan komited dalam usaha memastikan lebih ramai wanita menjadi pembuat dasar dalam kedua-dua sektor berkenaan bersandarkan kepada potensi dimiliki golongan terbabit.

Katanya, inisiatif itu seiring kemajuan dialami golongan itu, dengan sebahagian besarnya memiliki pencapaian akademik yang baik, selain berpengalaman dan berkelayakan untuk memimpin sesebuah organisasi yang selama ini dimonopoli golongan lelaki.

"Bersandarkan kepada penyertaan golongan wanita dalam pelbagai sektor pekerjaan yang kini mencapai 54.9 peratus pada Disember 2015, kita yakin ramai dalam kalangan mereka layak memegang jawatan sebagai pembuat dasar bagi organisasi masing-masing.

"Kita optimis pembabitan golongan wanita di negara ini di tempat kerja akan semakin meningkat berikutan pelaksanaan inisiatif Program Wanita Kembali Bekerjaya yang dilaksanakan tahun lalu bagi meningkatkan jumlah mereka sebagai tenaga kerja," katanya dalam temubual bersama BH di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Rohani sebagai presiden MOST IGC, UNESCO mempengerusikan mesyuarat di Paris, tahun lalu.
Rohani sebagai presiden MOST IGC, UNESCO mempengerusikan mesyuarat di Paris, tahun lalu.

Ambil pendekatan sesuai

Beliau berkata, perkembangan itu jelas memperlihatkan golongan wanita kini tidak hanya menjadi suri rumah atau hanya sekadar berada `di dapur', sebaliknya turut berperanan penting sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, berdasarkan statistik, kementerian sudah mencapai sasaran 30 peratus pembuat dasar terdiri daripada wanita apabila 34 peratus golongan itu memegang jawatan penting dalam agensi kerajaan ketika ini.

"Biarpun kita gembira dengan pencapaian ini, namun ada banyak lagi usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan hasrat itu turut dapat diadaptasikan dalam sektor swasta yang mencapai 17 peratus ketika ini.

"Justeru, kita akan mengambil pendekatan bersesuaian bagi meyakinkan sektor swasta agar meletakkan golongan wanita sebagai pembuat dasar dalam organisasi mereka. Pada masa yang sama, kita komited untuk mencapai hasrat itu dalam sektor swasta menjelang akhir tahun ini," katanya.

Beliau yang dilantik sebagai Presiden Majlis Antara Kerajaan Bagi Pengurusan Transformasi Sosial (MOST IGC) UNESCO di Paris tahun lalu, berkata penganjuran program HWA2016 membawa pengertian tersendiri kepada golongan wanita, malah ia satu bentuk satu pengiktirafan yang perlu dibanggakan.

"Malah, pemilihan tema sambutan kali ini juga cukup penting dalam memperjuangkan hak dan kepentingan wanita, sekali gus mengelak berlakunya diskriminasi dan eksploitasi terhadap golongan itu.

"Dalam merealisasikan tema ini, kita menekankan kepada tiga cara mudah untuk menerapkan elemen berkenaan kepada golongan wanita dengan menghulurkan bantuan kepada rakan karib atau ahli keluarga, tunjukkan betapa penting kehadirannya dalam hidup dan ucapan terima kasih," katanya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangka beberapa aktiviti sebagai pengisian sambutan kali ini, dengan majlis pelancaran dijangka berlangsung di Pusat Beli Belah The Spring, Kuching pada jam 10 pagi ini dan bakal disempurnakan isteri Ketua Menteri Sarawak, Puan Sri Jamilah Anu.

"Kita akan turut mengadakan Projek Komuniti MyKasih4u secara serentak dan dikendalikan oleh sukarelawan Komuniti Persatuan Wanita 1Malaysia (PERWANI). Ia memberi tumpuan kepada pembabitan tiga golongan sasar iaitu warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Berita Harian X