Khamis, 31 Disember 2015 | 6:43am

Krisis di Yarmouk cerminan sebenar konflik Syria

PELARIAN Palestin di kem Yarmouk melalui kesan runtuhan bangunan yang dibedil kumpulan penentang dan tentera Kerajaan Syria.
PELARIAN Palestin di kem Yarmouk melalui kesan runtuhan bangunan yang dibedil kumpulan penentang dan tentera Kerajaan Syria.

TULISKAN nama kamu dan nama ibu kamu! Demikian arahan seorang anggota tentera Syria yang berkawal di kawasan pintu masuk Kem Pelarian Yarmouk di selatan Damsyik.

Tanpa banyak soal semua sukarelawan dari Algeria, Jordan dan Malaysia terus ikut arahan itu ketika ketua konvoi misi kemanusiaan Al-Marhama, Abu Hamza berbincang dengan pegawai tentera yang menjaga laluan masuk ke kawasan panas di ibu negara Syria yang bergolak itu.

Dari luar 'pejabat' tentera di blok bangunan yang penuh kesan bedilan itu, penulis lihat Abu Hamza berkerut dahi selepas mendengar penjelasan pegawai tentera berkenaan.

Seorang askar bersenjata pula beri amaran kepada penulis supaya tidak ambil gambar dalam kem pelarian itu sebaik menyedari penulis bawa kamera.

"Hati-hati dengan kamera kamu," katanya bengis sambil menuding jari ke bahagian atas bangunan di depan kami. Ketika itu, baru penulis sedar, rupa-rupanya ada penempak tepat ditempatkan di tingkat atas bangunan melalui tingkap yang terbuka.

Sehari sebelum itu, sukarelawan antarabangsa yang ketika itu dalam misi menyampaikan bantuan keperluan musim sejuk kepada 18,000 pelarian Palestin yang masih terperangkap di Yarmouk terpaksa pulang selepas menunggu berjam-jam sejak awal pagi.

Cubaan kami untuk memasuki kem pelarian yang menjadi kubu kumpulan penentang kerajaan di Damsyik dan turut dikepung tentera kerajaan terpaksa dibatalkan kerana berlakunya insiden letupan sebuah bas di Souk Al-Hamidiyeh, di tengah-tengah kota Damsyik.

"Dua puluh orang mati dalam letupan itu," kata Abu Hamza yang juga aktivis Palestin dan penggerak utama kepada misi kemanusiaan disertai aktivis Malaysia.

Ketika itu, kali terakhir bantuan sampai ke kem pelarian yang asalnya kawasan kejiranan yang dihuni 180,000 daripada setengah juta pelarian Palestin yang berlindung di Syria ialah dua bulan sebelum itu pada Disember 2014.

Kem Yarmouk bukan seperti kebiasaan kem pelarian yang penulis pernah jejaki di zon konflik sebelum ini.

Jika di Mogadishu, Somalia, kem pelariannya amat daif dengan khemah didirikan dari kanvas buruk, Kem Yarmouk jauh berbeza kerana ia adalah kawasan kejiranan urban seluas 2.1 kilometer persegi.

Aktivis Palestin di Malaysia, Muslim Imran, menyifatkan Kem Yarmouk sebagai simbol keterbukaan kerajaan dan rakyat Syria kepada pelarian Palestin yang dihalau rejim Zionis Israel dari bumi Palestin sejak 1948.

"Sebelum konflik warga Palestin hidup aman di Syria, begitu juga di Kem Yarmouk," katanya, merujuk kepada kem pelarian yang dibuka sejak 1957.

Konflik di Syria bermula dengan bantahan sivil ke atas pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad sejak Mac 2011 yang bertitik tolak daripada Kebangkitan Arab di Tunisia, Libya dan Mesir.

Lebih 250,000 terkorban

Ia kemudian merebak menjadi penentangan bersenjata yang setakat ini mengorbankan lebih 250,000 nyawa, selain menyebabkan lebih empat juta warga Syria, termasuk pelarian Palestin dari Kem Yarmouk, menjadi pelarian.

Ramai menyifatkan pelarian Palestin di Syria menjadi mangsa keadaan kerana terperangkap dalam konflik yang semakin rumit dengan campur tangan negara kuasa besar bersandarkan 'memerangi keganasan' sebagai alasan.

"Konflik Syria tidak akan selesai selagi masalah di Yarmouk tak selesai," kata pelarian Palestin dari Syria, Abu Aiman.

Pemerhati politik membayangkan krisis di Yarmouk yang pernah mendominasi tajuk utama media dengan situasi kebuluran selepas dikepung lebih setahun oleh tentera kerajaan sejak Disember 2012, adalah 'cerminan' kepada keseluruhan konflik di Syria.

Kem Yarmouk sebenarnya amat bahaya dan hakikat itu dialami aktivis Malaysia, termasuk penulis, apabila kami cuba memasuki kawasan itu yang dikepung tentera kerajaan pada Februari lalu.

Sehari selepas cubaan memasuki kem pelarian itu dibatalkan kerana insiden letupan di Souk Al-Hamidiyeh, kami mencuba nasib menyampaikan bekalan makanan dan keperluan musim sejuk untuk 1,000 keluarga.

Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang jadi penyumbang utama dalam misi kemanusiaan kepada pelarian Palestin di Kem Yarmouk ketika itu adalah Mercy Malaysia. Selepas menunggu lebih setengah jam, aktivis dibenarkan masuk ke kem itu dengan menyelusuri lorong-lorong kecil di celah blok bangunan lima tingkat.

Kurang 50 meter, kami melalui checkpoint dikawal askar sebelum menuju ke lokasi selamat ditetapkan selepas persetujuan gencatan senjata dicapai antara kumpulan penentang dan tentera kerajaan Syria.

Kira-kira 250 meter kemudian, aktivis tiba di lokasi ditetapkan bagi pelarian terperangkap menerima bantuan makanan dan selimut tebal yang sedia dibawa masuk pada bila-bila masa dari sebuah lori yang menunggu di luar kem pelarian itu.

Sepanjang perjalanan ke lokasi itu, penulis yang diselubungi perasaan gerun menyaksikan bangunan penuh dengan kesan bedilan, malah ada yang ranap sepenuhnya. Kurang lima minit di lokasi itu ketika kami menunggu pelarian keluar, tiba-tiba kedengaran tembakan dilepaskan.

Bunyi tembakan bertalu-talu

Keadaan semakin tegang apabila beberapa das tembakan lagi dilepaskan yang seolah-olah ditembak tidak jauh dari lokasi kami berada apabila serpihan bangunan runtuh berdekatan dengan kedudukan penulis.

"Take cover, take cover (cari perlindungan)," kata aktivis Algeria, Yousef, sebelum semua aktivis berlindung dalam sebuah bangunan ketika bunyi das tembakan semakin bertalu-talu, sebelum disusuli dengan bedilan mortar.

Kami berlindung di tingkat bawah sebuah bangunan yang ada lubang besar pada dindingnya, kesan bedilan senjata berat. Situasi semakin genting dengan bunyi tembakan bertubi-tubi sebelum kami diarahkan keluar dari Kem Yarmouk.

Jurucakap Agensi Pekerjaan dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Chris Gunness ketika ditemui penulis di Kuwait berkata, keadaan di Kem Yarmouk rapuh dan tidak menentu.

"Situasi keselamatan di Yarmouk rumit," katanya merujuk kepada kem itu yang dikeluarkan dari senarai kawasan terkepung di Syria oleh PBB pada Julai lalu.

Sekalipun dikeluarkan dari senarai kawasan kritikal, UNRWA dilaporkan gagal memasuki Yarmouk sejak hujung Mac iaitu sejurus sebelum militan Daesh atau IS menakluk kawasan itu pada 1 April lalu.

Berita Harian X