Sabtu, 24 Januari 2015 | 7:52am

Gerakan terancang hancur akidah umat Islam makin ketara

wananwar@bh.com.my

UMAT Islam perlu terus mempertahankan kalimah Allah. - Foto hiasan
UMAT Islam perlu terus mempertahankan kalimah Allah. - Foto hiasan

Dalam sejarah perkembangan Islam, satu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah ia terus menjadi agama yang paling 'popular' mengalami gangguan atau 'serangan' oleh pihak yang anti-Islam atau yang jahil ajaran dibawa Islam.

Hari ini, gangguan dan serangan itu berlaku secara terbuka serta tidak berselindung lagi. Ada banyak faktor gangguan itu berlaku, namun yang paling jelas ialah bertujuan meruntuhkan akidah umat Islam dan seterusnya meruntuhkan terus Islam itu sendiri.

Fenomena yang berlaku ini menurut banyak cendekiawan Islam adalah sebagai satu proses terancang dan berterusan penghancuran akidah masyarakat Islam dan Islam itu sendiri.

Proses penghancuran akidah ini berjalan seiring dengan peredaran zaman dan ada ketika ia lebih maju sehingga tidak sempat masyarakat Islam menyedarinya bagi mengawal serta membendungnya.

Antara proses penghancuran akidah masyarakat Islam hari ini ialah dengan mempromosi fahaman yang dapat membuatkan akidah umat Islam tergelincir atau rosak secara sedar atau tidak seperti liberalisme, pluralisme dan sekularisme.

Fahaman liberalisme semakin berkembang

Satu perkara yang perlu diakui hari ini ialah fahaman liberalisme dalam Islam sebenarnya sudah lama wujud dan semakin berkembang di seluruh dunia termasuk di rantau Nusantara, khususnya Indonesia dan Malaysia.

Di Indonesia, sudah wujud kumpulan Jaringan Islam Liberal (JIL) sejak dekad awal 1970-an yang dipelopori Nurcholis Majid bersama rakannya, Johan Efendi dan Ahmad Wahib.

Hari ini, JIL di Indonesia dipimpin Ulil Abshar-Abdalla, individu yang pernah diharamkan Kerajaan Malaysia daripada memasuki negara ini, tahun lalu.

Mengulas keberadaan fahaman JIL di Indonesia, Adian Husaini dalam bukunya bertajuk 'Islam Liberal - Pluralisme Agama dan Diabolisma Intelektual menganggap 'liberalisasi di Indonesia adalah satu proses penghancuran akidah secara besar-besaran di negara yang mempunyai penganut agama Islam terbesar di dunia'.

Tidak seperti di Malaysia, JIL cukup dikenali dan diterima secara terbuka seperti di Indonesia. Di Malaysia, gerakan Islam liberal dilihat agak terbatas dalam menjayakan agenda mereka 'menggelincirkan' akidah umat Islam.

Malah, di Malaysia tiada nama khusus diwujudkan bagi merujuk individu atau kumpulan yang terbabit dalam gerakan Islam liberalisme di Malaysia negara ini.

Namun, gerakan Islam liberal di Malaysia dapat dikenal pasti menerusi program atau aktiviti yang mereka adakan atau kenyataan dikeluarkan terutama apabila membabitkan isu hak asasi dan kebebasan, khasnya apabila berkaitan dengan prinsip Islam fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ).

Gerakan konsisten, tersusun

Gerakan ini amat konsisten dan tersusun dalam memastikan usaha penyebaran fahaman Islam liberal ini mencapai matlamatnya walaupun mengetahui Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkannya sebagai sesat pada tahun 2006.

Secara asasnya, gerakan Islam liberal di Malaysia ini hampir sama dengan apa yang dilakukan JIL di luar negara kerana mereka di sini banyak meniru apa yang dilakukan Indonesia.

Bagi melindungi gerak kerja mereka, gerakan JIL ini banyak berselindung atau menumpang isu atau aktiviti kumpulan yang memperjuang fahaman pluralisme, sekularisme dan liberalisme khasnya membabitkan soal kebebasan dan hak asasi manusia.

Gerakan ini akan menjadi agresif apabila timbul isu menyentuh kebebasan dan hak asasi manusia terutama menyentuh prinsip yang bertentangan ajaran Islam seperti dalam isu amalan seks songsang membabitkan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), kebebasan beragama, murtad dan poligami.

Sokongan kumpulan Islam liberal ini dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa isu kontroversi yang timbul sebelum ini seperti mempertahan tindakan provokasi seorang peguam terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam.

Antara isu yang mendapat sokongan padu golongan Islam liberal ini adalah idea agar bukan Islam turut dibenarkan menggunakan kalimah Allah dan pandangan agar orang Melayu Islam di negara ini perlu diberi kebebasan menganut agama disukai.

Sama ada ia memang dirancang atau kebetulan, kedua-dua idea yang amat jelas berunsur liberal ini dizahirkan oleh pemimpin parti pembangkang yang dasar perjuangannya juga berasaskan fahaman sekular serta liberal.

Menyentuh isu ini, Prof Ulung di Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr Muhammad Kamal Hassan, menyeru umat Islam supaya berhati-hati dengan gerakan JIL dan tidak mudah terpedaya menerima falsafah yang dibawa gerakan itu.

Dalam syarahannya pada majlis Bicara Persada di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Menangani Cabaran Pemikiran Jaringan Islam Liberal, baru-baru ini, Muhammad Kamal berkata, gerakan Islam liberal dipengaruhi Barat yang mempunyai agenda mahu memecah-belahkan ummah dengan memberikan banyak label.

"Prinsip asas menjadi pegangan gerakan Islam liberal ini ialah menyamatarafkan semua agama dengan Islam.

"Aliran ini lanjutan daripada perkembangan pemikiran modenisme yang berusaha menyesuaikan Islam dengan realiti kehidupan moden yang sedang berkembang hari ini, sedangkan sepatutnya, kehidupan perlu disesuaikan dengan Islam dalam apa keadaan atau masa.

"Barat berhasrat mahukan umat Islam berfikir mengikut acuan mereka yang mana wujudnya gerakan pelbagai fahaman yang kaku, tidak mahu bertolak ansur, sekular, sederhana, suka damai, pelampau, ganas dan sebagainya," katanya.

Bertentangan Ahli Sunah Wal Jamaah

Muhammad Kamal, yang banyak membuat kajian di Indonesia dan berpengalaman dalam isu membabitkan aliran Islam liberal berpendapat, JIL atau apa juga aliran agama bertentangan fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah adalah bahaya kepada kesatuan umat Islam, pemerintah dan keamanan negara.

Beliau yang mempunyai reputasi dan hubungan baik dengan cendekiawan serta ulama di negara itu dan pernah mewawancara Ulil Abshar berkata, aliran liberalisme dalam Islam yang dipromosi JIL adalah terpesong dan hanya merosakkan akidah umat Islam jika disokong atau diambil menjadi fahaman peribadi.

"Di antara fahaman mereka (Islam liberal) ialah agama adalah urusan peribadi, orang bukan Islam boleh kekalkan status agama asal apabila berkahwin dengan umat Islam dan semua agama adalah sama, kononnya menuju ke arah kebaikan.

"Ini semua bertentangan dengan ajaran Islam yang kita amalkan selama ini," katanya.

Malah, beliau mengkategorikan JIL di Indonesia sebagai gerakan yang tempiasnya boleh mendatangkan mudarat kepada umat Islam di rantau ini termasuk Malaysia.

Apa yang pasti, kemunculan fahaman liberalisme, pluralisme dan sekularisme adalah bertujuan untuk menimbulkan keraguan dalam hati umat Islam terhadap kebenaran agama Islam dengan harapan penganutnya menganggap pegangan agama dianggap tidak sesuai lagi pada zaman moden hari ini.

Di sini dapat dilihat, JIL mempunyai strategi rapi dan tersusun untuk memastikan fahaman Islam liberal terus kukuh bertapak dan berkembang di negara ini.

Pelbagai strategi dan kaedah digunakan seperti memberi sokongan dalam pelbagai cara dan bentuk kepada individu berpengaruh atau yang cenderung kepada fahaman sekular atau liberal seperti dalam kalangan wakil rakyat, pemimpin parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan cendekiawan dan mahasiswa.

Isu kalimah Allah

Lihat sahaja dalam isu penggunaan kalimah Allah kepada bukan orang Islam. Kita boleh mengenal pasti siapakah individu yang mengaku beragama Islam, tetapi amat kuat menyatakan sokongan terhadap cadangan itu.

Malah, individu ini sanggup membela dan mempertahankan pula orang bukan Islam yang didapati terbabit dalam perbuatan mempersenda dan menghina Islam dalam pelbagai bentuk dan rupa termasuk menerusi media sosial.

Ternyata, usaha JIL menampakkan kejayaan di Malaysia. Ini dibuktikan dengan kemunculan individu yang menyokong cadangan itu bukan calang-calang orang, sebaliknya dalam kalangan Ahli Parlimen, pemimpin parti politik dan NGO yang memiliki pengaruh kuat dalam masyarakat.

Justeru, cadangan kerajaan sebelum ini yang mahu meminda Perkara 3 Perlembagaan dengan memasukkan klausa 'Islam fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah' tidak boleh dilengahkan lagi jika mahu kedudukan Islam dan umatnya di negara ini terjamin, terbela dan terhindar daripada pelbagai fitnah yang muncul menerusi pelbagai cara dan kaedah termasuk menerusi penyebaran fahaman sesat lagi menyesatkan.

Berita Harian X