Jumaat, 26 September 2014 | 9:35am

Bumiputera kuasai ilmu baharu untuk terus bersaing

Pada 10 Oktober ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadualkan membentangkan Bajet 2015. Bajet 2015 dianggap istimewa kerana ia adalah bajet terakhir tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).

Pada dasarnya, RMKe-10 mengandungi aspirasi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang berteraskan kepada pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan.

Dalam tempoh rancangan lima tahun itu, terdapat lima inisiatif strategik disusun oleh kerajaan khusus bagi memperkasa pembangunan Bumiputera iaitu: Meningkatkan pemilikan kuiti Bumiputera melalui penginstitusian;

Mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera;

Menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan Bumiputera;

Membangunkan guna tenaga profesional Bumiputera secara lebih tuntas;

Menubuhkan satu majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera.

Bagi menjayakan agenda itu, kerajaan menggariskan pula Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera yang bermatlamat:

Mendaya modal insan Bumiputera;

Memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat;

Memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera;

Memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera;

Memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Tingkat penguasaan Bumiputera dalam ekonomi

Semua itu dijelmakan bagi meningkatkan lagi penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara terutama menerusi bidang keusahawanan dan perniagaan. Sebagai kelompok penduduk majoriti, Bumiputera tidak harus terpinggir daripada arus pembangunan dan adalah menjadi agenda kerajaan membantu membangunkan lagi ekonomi mereka.

Meskipun begitu, penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara masih berada pada sekitar 23 peratus, jauh daripada sasaran kerajaan iaitu 30 peratus, jumlah usahawan yang menguasai pelbagai bidang meningkat berbanding dahulu.

usteru, usaha untuk membantu memperkasakan Bumiputera dalam pelbagai sudut dan bidang idak boleh dikesampingkan begitu sahaja dan menjadi tanggungjawab utlak pihak kerajaan membantu memajukan mereka, tetapi tanpa mengabaikan kepentingan kaum lain.

Hakikatnya, jutaan ringgit telah diperuntukkan kerajaan untuk disalurkan kepada Bumiputera sebagai dorongan bagi menceburi bidang keusahawanan bagi memperkasakan ekonomi mereka menerusi pelbagai program bantuan seperti Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Begitupun, selepas pelbagai program, insentif dan bantuan disediakan, masih wujud suarasuara usahawan Bumiputera yang kurang berpuas hati dengan skim dan program bantuan berkenaan antaranya kerana kerenah birokrasi, tidak telus, pegawai agensi meminta suapan dan usahawan tidak mendapat sokongan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam hal ini, sikap menuding jari mungkin tidak membantu menyelesaikan masalah yang berbangkit, namun usaha memperbaiki sebarang kelemahan yang wujud perlu dicari bagi memastikan agenda memperkasa Bumiputera dapat terus dilaksanakan.

Antara usaha difikirkan perlu adalah dengan melakukan anjakan paradigma terutama dalam kalangan generasi baharu Bumiputera menerusi bidang pendidikan, mewujudkan pangkalan data usahawan Bumiputera, menyuburkan budaya keusahawanan dalam generasi baharu Bumiputera, meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan memperkemaskan lagi peranan agensi yang bertanggungjawab membantu memperkasa Bumiputera.

Semua perkara ini adalah antara isu dan langkah yang dibangkit serta dibincangkan dalam forum Bicara BH yang membincangkan topik Bajet 2015: Pelengkap Agenda Pembangunan Bumiputera RMKe-10 anjuran Berita Harian (BH) dan ditaja Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), kelmarin.

Topik itu dipilih bagi menyingkap dan membincangkan tahap pencapaian inisiatif yang ditetapkan dalam RMKe-10 yang bermula pada tahun 2011, selain mencadangkan langkah atau inisiatif tambahan yang perlu disediakan kerajaan dalam Bajet 2015, iaitu bajet terakhir dalam RMKe-10. Forum berkenaan dikendalikan Pengarah Kanan Pengurusan Projek dan Penyampaian TERAJU, Norizan Sharif dan empat ahli panel terdiri daripada tokoh pendidikan, Tan Sri Arshad yub; Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS), Datuk Abdul Rahman Ahmad; Pengurus Besar Bahagian Hartanah Perbadanan Nasional Bhd (PNS), Hassan Abd Rahman dan Naib Presiden Generasi Muda Berjaya, Syfik Idzywan Sidek. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menjadi tetamu kehormat bagi mencapaikan ucaptama pada forum berkenaan.

Usaha memajukan Bumiputera

Dalam membincangkan topik berkenaan, Arshad berpendapat usaha memajukan Bumiputera pada dekad ini dan mendatang tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata. Sebaliknya, pendidikan vokasional juga amat penting.

Pada masa sama, set pemikiran pelajar hari ini perlu diubah supaya memiliki perasaan dan semangat tinggi untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi termasuk ke tahap global.

"Pada hari ini, apa yang penting pemikiran Bumiputera, generasinya, usahawannya perlu berubah. Kita dapat lihat Bumiputera berasa takut untuk menguasai ilmu baharu, bagaimana kita hendak bersaing termasuk di negara kita sendiri.

"Pendidikan, pemikiran dan semangat Bumiputera perlu berubah. Kebolehan dan kepandaian mesti sepadan dengan kehendak pada peringkat global, jangan hanya bersandar kepada yang lama," jelas beliau. Abdul Rahman pula berpendapat, aspek penting yang tidak kurang pentingnya jika mahu meningkatkan penguasaan Bumiputera dalam bidang keusahawanan ialah dengan melakukan transformasi terhadap institusi yang bertanggungjawab membantu usahawan Bumiputera.

Ketika ini kata beliau, terlalu banyak institusi diwujudkan bagi tujuan membantu usahawan Bumiputera, akan tetapi hasilnya tidak begitu menggalakkan dan sasaran rungutan usahawan. "Kita terlalu banyak institusi yang semuanya bertujuan membantu usahawan, tetapi hasilnya tidak begitu menggalakkan. "Kita mungkin boleh mengurangkan (bilangan institusi) dan fikir bagaimana hendak membuatkannya lebih produktif serta efektif.

"Saya fikir, pada masa depan, kita perlu melakukan transformasi institusi ini kerana boleh dilihat, fungsinya banyak yang berlapik sehingga ada yang menimbulkan kesulitan kepada usahawan Bumiputera untuk mendapatkan bantuan modal," katanya.

Institusi perlu lebih telus, terbuka

Pada masa sama katanya, institusi yang wujud ketika ini perlu berani mengorak langkah untuk menjadi lebih telus dan terbuka kepada semua seperti bersedia untuk menunjukkan data-data mengenai kejayaan atau kegagalan yang dialami usahawan sepanjang menerima bantuan.

"Hari ini, kita tidak berani menunjukkan data ini, sedangkan matlamat kita ialah untuk melihat kejayaan usahawan menerusi program atau skim yang disediakan. "Apa yang penting, kita dapat menilai keberkesanan program berkenaan dan jika ada usahawan yang berjaya, kita boleh menilainya dan jika gagal, kita boleh belajar untuk memperbaiki kelemahan yang berlaku," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berharap, usahawan perlu memahami risiko yang bakal ditanggung institusi terbabit sehingga kadang-kadang bersikap memilih dalam mengeluarkan bantuan modal atau dana kepada usahawan kerana menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan dana yang dikeluarkan benar-benar dimanfaatkan usahawan. Ia membabitkan sumber modal yang diperuntukkan kerajaan kepada institusi ini seperti kami di EKUINAS," katanya.

Sementara itu, Syfik Idzywan berpendapat, selain daripada menerima dana, modal dan latihan daripada kerajaan, Bumiputera juga sepatutnya menjadikan keusahawanan sebagai satu budaya dalam diri. Katanya, walaupun ia mungkin satu proses yang mengambil masa lama, ia perlu dilakukan jika ingin melihat Bumiputera dapat terus berdaya saing pada masa depan.

"Kalau kita sedari, orang kita baharu mula rancak berniaga mulai tahun 1980-an dan ketika tahun 1990-an ia menjadi semakin berkembang dan mulai tahun 2000 kita mulai hadapi cabaran sehingga sekarang dan mungkin seterusnya. "Apa yang dapat saya perhatikan, budaya keusahawanan memerlukan pendedahan dari peringkat sekolah dan universiti," katanya sambil mengakui menerima pendedahan dalam budaya keusahawan sejak zaman sekolah di asrama penuh sehingga ke universiti kerana bergaul dengan rakan- rakan yang mana bapa mereka adalah peniaga.

Berita Harian X