Sabtu, 30 Januari 2021 | 10:49am
Seorang bakal graduan yang sedang mengisi borang sebelum temuduga bersama majikan.
Seorang bakal graduan yang sedang mengisi borang sebelum temuduga bersama majikan.

Pelbagai inisiatif pacu pemulihan pasaran buruh

Pandemik COVID-19 memberi impak besar kepada pengeluaran output sektor ekonomi yang seterusnya, memberi implikasi kepada pasaran buruh di Malaysia.

Krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19 adalah paling buruk dalam sejarah Malaysia, sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tindakan pengawalan jangkitan wabak berkenaan melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac sehingga Mei 2020 di seluruh negara, menyebabkan hampir keseluruhan sektor ekonomi terkesan.

Dari perspektif ekonomi, ini adalah satu bentuk gangguan bekalan (supply-side disruption) yang memberi kesan herotan besar kepada pasaran buruh negara.

Kadar pengangguran mencapai tahap tertinggi pada Mei 2020 dengan kadar 5.3 peratus, berbanding kadar normal iaitu sekitar 3.3 peratus pada Februari tahun yang sama.

Purata kadar pengangguran untuk tahun 2020 dianggarkan, sekitar 4.5 peratus lebih tinggi berbanding purata tahun 2019 iaitu 3.2 peratus.

Data jumlah kehilangan pekerjaan yang dicerap oleh Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan, kenaikan ketara, meningkat daripada 15,602 pada sukuan pertama 2020 kepada 34,806 pada sukuan kedua.

Sebagai tindak balas kepada ganguan pasaran buruh ini, kerajaan Malaysia menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) melaksanakan beberapa langkah pantas serta efektif dalam mengurangkan impak ke atas pekerjaan dan pendapatan golongan terkesan.

Antara program itu adalah Program Subsidi Upah (PSU), Program Insentif Pengambilan, Bantuan Mobiliti dan program latihan semula.

Intervensi kerajaan itu menunjukkan pemulihan ketara pasaran buruh. Kadar pengangguran menurun sekitar 4.7 peratus sehingga 4.8 peratus pada sukuan keempat 2020, berbanding 5.1 peratus pada sukuan kedua 2020.

Jumlah kehilangan pekerjaan menurun sebanyak 30 peratus kepada 23,307 pada sukuan keempat 2020 berbanding sukuan ketiga.

Sebahagian pencari kerja yang hadir mendaftar untuk rebut peluang pekerjaan di karnival pekerjaan PERKESO.

Namun, masih terdapat banyak aspek yang perlu diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya kerana pasaran buruh belum pulih sepenuhnya seperti keadaan sebelum krisis pandemik COVID-19.

Contohnya, peluang pekerjaan yang wujud di pasaran berkemungkinan, tidak sepadan dengan pekerjaan sebelum COVID-19 melanda ekonomi negara.

Begitu juga, kadar gaji dan upah ditawarkan juga tidak sepadan dengan pekerjaan terdahulu.

Jadi, di dalam fasa pemulihan ini masih ramai dalam kalangan pekerja yang memerlukan bantuan bagi memperbaiki keadaan ekonomi mereka.

Pengukuhan Pemulihan Pasaran Buruh 2021

Belanjawan 2021 adalah belanjawan tahunan terbesar dalam sejarah negara yang mencecah peruntukan sebanyak RM322.5 bilion.

Ia juga adalah belanjawan negara pertama yang mengimbangi di antara keperluan ekonomi dan keperluan untuk melindungi rakyat daripada risiko wabak COVID-19.

Dengan 60.7 peratus nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), kerajaan mengambil pendekatan konvensional untuk melaksanakan dasar fiskal pengembangan pada 2021.

Dari perspektif pasaran buruh, Belanjawan 2021 digubal bersandarkan kepada dua asas utama, iaitu pemulihan dan pembaharuan.

Langkah pemulihan pasaran buruh 2021 terarah kepada usaha pengekalan pekerjaan, penciptaan peluang pekerjaan dan pengurangan beban kewangan akibat kehilangan pekerjaan.

Contohnya, Program Subsidi Upah 3.0 (PSU 3.0) yang bersasar kepada sektor pelancongan dan peruncitan dilaksanakan sebagai mekanisme pengekalan pekerjaan.

Pencari kerja berdaftar dengan pegawai PERKESO untuk menghadiri temu duga yang dianjurkan oleh PERKESO.

Inisiatif Penjana Kerjaya 2.0 turut menyokong langkah pengekalan pekerjaan di samping mengurangkan pengangguran di kalangan pekerja tempatan.

SIP Prihatin pula adalah langkah yang diambil untuk mengurangkan beban kewangan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan di samping membantu mereka dalam penempatan pekerjaan semula.

PSU 3.0 yang lebih bersasar adalah selari dengan pendekatan kecekapan ketika di fasa pemulihan ekonomi.

Kebanyakan perniagaan menunjukkan pemulihan ketara apabila ekonomi dibuka semula sejak Jun 2020 dan kebenaran beroperasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Walaubagaimanapun, terdapat sebahagian perniagaan terutamanya dalam sektor pelancongan yang masih terkesan dan memerlukan jangka masa lebih lama untuk pulih.

Jadi, bantuan PSU bersasar masih diperlukan bagi memastikan ketahanan perniagaan di sektor ini ketika krisis pandemik ini.

Dari perspektif ekonomi, PSU bersasar adalah keputusan dasar yang produktif yang dapat mendorong pemulihan ekonomi dengan cara yang lebih mampan.

Belanjawan 2021 juga menerapkan elemen pembaharuan yang dijangka dapat menjadikan pasaran buruh lebih efisien dalam jangka masa panjang.

Dua contoh ini adalah antara elemen pembaharuan yang terkandung dalam Belanjawan 2021.

Pertama, PenjanaKerjaya 2.0 memberi dorongan kepada kedua-dua belah pihak iaitu majikan dan pekerja untuk mengutamakan pekerja tempatan.

Kebergantungan terlalu tinggi kepada pekerja asing bukan sahaja memberi ancaman peluang pekerjaan kepada warga tempatan, malah memberi kesan herotan kepada kecekapan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Di bawah pendekatan 'Malaysianization', pekerja tempatan yang mengisi jawatan sebelum ini diisi oleh pekerja asing akan mendapat tambahan insentif bulanan sebanyak 20 peratus daripada gaji selama untuk tempoh enam bulan, yang dikreditkan terus ke akaun mereka.

Pendekatan ini dijangka menarik minat pekerja tempatan untuk mengisi jawatan pekerja asing.

Kedua, SPS Lindung yang membiayai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri kepada 'delivery riders' adalah permulaan kepada penambahbaikan sistem perlindungan sosial kepada mereka yang bekerja di sektor tidak formal terutamanya pekerja platfom digital.

Insentif yang terkandung di dalam pakej Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pula diperkenalkan untuk mengukuhkan langkah pemulihan pasaran buruh 2021 akibat daripada pelaksanaan PKP 2.0.

Walaupun impak ke atas pasaran buruh akibat PKP kali kedua sederhana, insentif tambahan diperlukan bagi memastikan kesan minimum daripada proses pemulihan ekonomi 2021.

Berita Harian X