Ahad, 2 Julai 2017 | 8:11pm

UEM Sunrise tinjau potensi di Australia, Afrika Selatan

PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise), Anwar Syahrin Abdul Ajib. - Foto Salhani Ibrahim
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise), Anwar Syahrin Abdul Ajib. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise), pemaju hartanah tempatan, sedang meninjau beberapa potensi pembangunan hartanah baharu di Australia dan Afrika Selatan dalam usaha mengembangkan segmen hartanah luar negaranya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata kumpulan dari semasa ke semasa meninjau pembangunan strategik lain yang berpotensi untuk dibangunkan sama ada dalam dan luar negara.

"Pada masa ini kami meninjau beberapa lokasi berpotensi baharu di Melbourne dan Sydney, bagi mengembangkan lagi projek hartanah kumpulan di negara berkenaan.

"Selain itu, kami juga berminat untuk mencari peluang baharu di Afrika Selatan bagi pembangunan hartanah seperti residen, hotel mewah dan runcit," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Anwar berkata, lokasi seumpama itu terletak di kawasan tumpuan ramai, malah Melbourne sendiri dikenali sebagai 'Bandar Paling Sesuai Didiami', sejak beberapa tahun ini.

Malah, katanya, UEM Sunrise juga bakal melancarkan fasa ketiga bagi projek Mayfair, St Kilda Road di Melbourne, Australia pada separuh kedua tahun ini.

"Pemilihan lokasi itu adalah sebahagian strategi kami untuk mengembangkan aliran projek di luar negara. Selain menjanjikan suasana dan gaya hidup berbeza, projek itu dijangka dapat menjangkau segmen pasaran yang berbeza," katanya.

Selain projek Mayfair, St Kilda Road di Melbourne, UEM Sunrise turut memiliki pembangunan hartanah Aurora Melbourne Central dan Conservatory di Australia.

Mengulas mengenai perancangan masa depan kumpulan, Anwar berkata, UEM Sunrise akan memfokuskan kepada tiga teras utama dalam usaha memperkukuhkan prestasinya tahun ini.

Katanya, tiga teras penting berkenaan merangkumi pengukuhan reputasi, menerapkan budaya perkhidmatan dalam organisasi serta mempelbagaikan asas geografi dan perniagaan.

Setakat ini, beliau berkata, kumpulan memiliki bank tanah seluas 5,260 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM108 bilion untuk dibangunkan dalam tempoh 30 tahun.

"Keseluruhan jumlah bank tanah itu menjadikan UEM Sunrise sebagai antara syarikat dan pemaju hartanah yang berjaya dengan kepelbagaian produk hartanahnya, merangkumi dari segmen kediaman, komersial dan projek bercampur di Malaysia," katanya.

Info:

- UEM Sunrise cabang perniagaan pembangunan hartanah dan perbandaran UEM Group Bhd

- Sebahagian besar bank tanah UEM Sunrise terletak di Johor, selain Selangor, Kuala Lumpur dan Perak, serta Australia serta Afrika Selatan.

- Simpanan tanah UEM Sunrise di Johor berkeluasan kira-kira 4,046 hektar.

Berita Harian X