Rabu, 28 Jun 2017 | 8:05pm
KOK Leong (dua dari kiri) bertukar MOU dengan Wullschleger (dua dari kanan) di pavilion Malaysia di Astana, hari ini. - Foto BERNAMA
KOK Leong (dua dari kiri) bertukar MOU dengan Wullschleger (dua dari kanan) di pavilion Malaysia di Astana, hari ini. - Foto BERNAMA

Nanopac yakin muktamad perjanjian teknologi hijau RM258 juta

ASTANA (KAZAKHSTAN): Syarikat teknologi nano, Nanopac (M) Sdn Bhd yakin memperoleh perjanjian teknologi hijau bernilai AS$60 juta (RM258 juta) dengan GC Global Consulting GMBH, Switzerland pada September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Nanopac (CEO), Datuk Dr Cheng Kok Leong, berkata tawaran selama tiga tahun itu dijangka dimeterai pada September selepas CEO/Pengasas GC Global, Raffael Wullschleger, melawat kemudahan syarikat berkenaan di Malaysia bulan depan.

"Menerusi perjanjian terbabit, GC Global akan mempromosikan teknologi sistem solar hibrid dan nanoteknologi kami dalam projek kediaman serta komersial di Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom (UK), Jerman dan Afrika.

"Mereka juga akan menyediakan pembiayaan usaha niaga dan projek dalam panel tenaga cahaya nano, nano fotovolta atau sistem tandas kendiri," katanya kepada media Malaysia selepas bertukar memorandum persefahaman (MOU) dengan Wullschleger di pavilion Malaysia di sini, hari ini.

Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman dan Naib Presiden Kanan Bioindustrial, Zainal Azman Abu Kassim, menyaksikan upacara berkenaan.

Kok Leong berkata, GC Global juga akan menjadi bahagian pemasaran Nanopac dalam penyumberan bagi rakan kongsi atau projek tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, ketika ini Nanopac mempunyai tiga buah kilang iaitu di Puchong dan Tanjung Malim (Malaysia) serta di Korea Selatan.

Sementara itu, Wullschleger berkata, Nanopac mampu menawarkan teknologi hijau pada harga yang berpatutan.

"Sebagai contoh, terdapat lebih 100,000 buah rumah tanpa tandas di Jerman, ini salah satu cabaran terbesar yang kami hadapi sekarang dan Nanopac mempunyai penyelesaian untuk itu," katanya.

MOU hari ini adalah yang kelima dibuat sepanjang tiga bulan berlangsungnya, Ekspo Astana 2017 yang bermula sejak 10 Jun 2017.

Terdahulu, Malaysia memperoleh lebih daripada AS$1.6 bilion (RM6.88 bilion) dalam potensi perdagangan dan pelaburan hanya dalam tiga minggu pertama ekspo itu berjalan, jauh mengatasi sasaran RM1 bilion yang ditetapkan. - BERNAMA

Berita Harian X