Khamis, 8 Jun 2017 | 5:47pm

IQI Global wujud Pusat Arahan Asia Pasifik di KL

KUALA LUMPUR: IQI Global, firma pelaburan hartanah yang berpangkalan di Dubai memeterai perjanjian utama dengan Exsim Group, pemaju hartanah terkemuka untuk menubuhkan Pusat Arahan Asia Pasifik serba baharu.

Menerusi kerjasama itu, IQI akan memperoleh 33,000 kaki persegi ruang pejabat di projek Millerz Square, Jalan Klang Lama (Millerz Square@OKR) dengan nilai RM30 juta, dalam usaha mempercepatkan pertumbuhan dan memenuhi pasaran serantau.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IQI, Kanshif Ansari, manakala Exsim diwakili Ketua Komunikasi Korporatnya, Michelle Siew.

Kanshif berkata, dengan penubuhan pusat arahan itu, IQI mencapai satu lagi kejayaan membawa kumpulan menghampiri visi menjadi peneraju global dalam industri hartanah.

"Melangkaui rutin biasa dalam industri adalah sebahagian daripada DNA kumpulan dan kami bangga memacu ke arah inovasi dan kreativiti dalam industri ini.

"IQI mengorak langkah dalam usaha melebarkan sayap operasi dengan penubuhan Pusat Arahan Asia Pasifik berkeluasan 33,000 kaki persegi yang adalah pertama oleh syarikat hartanah di dunia.

"Apa yang pasti, pusat ini akan membezakan kami dengan norma pasaran, sekali gus melonjakkan pasukan kami mencapai kejayaan lebih besar," katanya pada majlis memeterai perjanjian itu di sini, hari ini.

Millerz Square@OKR adalah pembangunan bercampur oleh Exsim Group yang menempatkan lima blok aras tinggi merangkumi menara pejabat dengan 336 unit suite pejabat dan empat blok apartmen servis dengan 1,633 unit.

Kanshif berkata, sebagai peneraju pasaran, pihaknya percaya adalah menjadi tanggungjawab untuk membina budaya dan persekitaran yang baik dalam membina dan memberi ganjaran kepada ejen jualan kumpulan.

"IQI percaya ejen kami layak untuk mendapatkan yang terbaik, maka mereka memerlukan ruang yang boleh memberi inspirasi mencapai sasaran tertinggi.

"Dengan meneruskan suntikan semangat kepada pasukan kami, IQI akan mewakili wajah baharu industri hartanah global," katanya.

Pada majlis itu, IQI menerusi anak syarikatnya, MyKey Global, menandatangani perjanjian dengan Exsim Group untuk mengendalikan 300 unit suite mewah Expressionz Professional Suites di Jalan Tun Razak dalam usaha menawarkan pengalaman penginapan mewah kepada tetamu jangka pendek.

Ketua Pegawai Eksekutif MyKey Global, Dave Chong berkata, syarikat juga akan menambah tambahan 500 unit suite ke dalam inventorinya, sekali gus meletakkan ia sebagai peneraju dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan jangka pendek.

"Kerjasama antara IQI dan Exsim Group akan diteruskan untuk tempoh jangka panjang dan dijangka memberi kesan kepada pasaran hartanah di rantau Asia Pasifik," katanya.

Info

* Menara pejabat dikenali sebagai Menara Exsim.

* IQI beroperasi di Australia, Kanada, Filipina dan memiliki lebih 300 ejen di Malaysia.

Berita Harian X