Rabu, 7 Jun 2017 | 4:02pm

Persidangan Peruncitan MRCA dan MIRF tumpu inisiatif digital

(Dari kiri) DATUK Liew Bin, Datuk Garry Chua, Datuk Bruce Lim dan Datuk Liaw Choon Liang pada sidang media di majlis pengenalan Persidangan Peruncitan MRCA dan MIRF 2017 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi
(Dari kiri) DATUK Liew Bin, Datuk Garry Chua, Datuk Bruce Lim dan Datuk Liaw Choon Liang pada sidang media di majlis pengenalan Persidangan Peruncitan MRCA dan MIRF 2017 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) akan mengetengahkan transformasi ekonomi utama menerusi inisiatif runcit digital di Persidangan Peruncitan MRCA dan Pameran Runcit dan Francais Antarabangsa 2017 (MIRF 2017).

Bertemakan "Innovasi: Masa Depan Bermula Hari Ini", Persidangan Runcit MRCA menampilkan barisan tokoh pengurusan seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri ldris Jala; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood; dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan ADV Fusionex, Datuk Seri Ivan Teh.

Presiden MRCA, Datuk Garry Chua, berkata persidangan itu bertujuan mengukuhkan inisiatif runcit digital yang diperkenalkan MRCA, selain menyediakan peluang menerokai penggunaan perkakasan dan teknologi terkini operasi peruncitan.

Selain itu, katanya persidangan itu juga bertujuan menggalakkan pengantarabangsaan serta mendekati pengguna Gen-Y dan golongan pekerja.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pengenalan Persidangan Peruncitan MRCA dan MIRF 2017 di sini, hari ini.

Persidangan Peruncitan MRCA akan diadakan pada 12 Julai 2017 di Garden Hotel, Kuala Lumpur.

Garry berkata, berikutan kejayaan MIRF yang julung kali diadakan pada 2016, MRCA terus melengkapi keperluan setiap profesional dengan pelbagai ciri pendidikan dan peluang jaringan perniagaan.

Sejajar hala tuju MRCA dalam pelan peruncitan merentasi sempadan, MlRF katanya meletakkan Malaysia sebagai hab runcit dan francais antarabangsa, termasuk bagi mencari pelabur serta rakan kongsi.

Pameran pula akan diadakan bermula 13 hingga 16 Julai 2017 di Pusat Pameran Mid Valley (MVEC).

Garry berkata, berpandukan kepada edisi pertama MIRF, MRCA 2017 bermatlamat mencapai peningkatan 20 peratus daripada jumlah hasil urus niaga tahun lalu iaitu RM50 juta, dengan pembabitan 250 pempamer serta mensasarkan 20,000 pengunjung sepanjang empat hari pameran itu.

"Industri francais kita mempunyai potensi untuk meningkat pada tahap yang lebih tinggi kerana pada masa ini ia hanya menyumbang lima peratus daripada jualan runcit berbanding negara maju lain iaitu pada 40 peratus," katanya.

Timbalan Setiausaha Agung MRCA, Datuk Bruce Lim, dipertanggungjawabkan untuk melaksana Persidangan Peruncitan MRCA, manakala Naib Presidennya, Datuk Liew Bin, diberi tanggungjawab mempengerusikan jawatankuasa penganjuran MIRF 2017.

Persidangan Peruncitan MRCA dan MIRF 2017 adalah anjuran bersama Nexus Runcit dan Produktiviti F&B Perbadanan Produktiviti Malaysia, serta Kumpulan Mah Sing.

Ia turut mendapat sokongan daripada Maxis, Maybank, Mastercard, Fusionex dan Quill Automobiles.

Berita Harian X