Ahad, 4 Jun 2017 | 4:57pm
PANDANGAN udara lokasi projek Solar Berskala Besar (LSS) TNB di Kuala Langat, Selangor
PANDANGAN udara lokasi projek Solar Berskala Besar (LSS) TNB di Kuala Langat, Selangor

Projek solar terbesar TNB mula bulan depan

gn4id:19531011

Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijadualkan memulakan pembinaan projek Solar Berskala Besar (LSS) pertamanya di Malaysia pada bulan depan.

Projek yang akan meliputi kawasan seluas 97 hektar di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor itu kini dalam fasa kerja pembersihan tanah.

Menurut TNB, pembangunan ladang solar itu akan membabitkan kawasan seluas 68 hektar, manakala baki selebihnya iaitu 29 hektar akan menempatkan talian penghantaran bervoltan tinggi sedia adanya.

"Apabila selesai dan beroperasi sepenuhnya pada November 2018, projek itu akan menjana dan mengeksport 50MW (megawatt) elektrik ke grid nasional," demikian menurut TNB dalam kenyataan, semalam.

Suruhanjaya Tenaga menganugerahkan projek itu kepada TNB Sepang Solar Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh TNB, menerusi satu tawaran bidaan.

Ia sejajar dengan hasrat TNB untuk menjadi penyedia kebanyakan tenaga boleh diperbaharui Malaysia dengan melabur dalam projek solar, angin, bio-jisim, bio-gas dan hidro mini.

Sebagai sebahagian pelan pengembangan antarabangsa kumpulan, TNB turut mengambil alih aset penjanaan tenaga boleh diperbaharui di luar negara.

Bulan lalu, syarikat itu selesai mengambil alih 50 peratus pegangan dalam Vortex Solar Investments S.a.r.l. yang terbabit dalam portfolio operasi 365MW solar fotovolta (PV) di United Kingdom.

Berita Harian X