Sabtu, 3 Jun 2017 | 2:52pm

Ringgit dijangka tinggi berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan dan sekitar paras 4.2, didorong sokongan belian pelabur tempatan dan asing susulan pemulihan ekonomi global serta perkembangan ekonomi tempatan yang positif.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata ringgit semakin mendapat momentum yang dijangkakan oleh pakar ekonomi sebagai aliran berterusan.

Nazri Khan berkata, laporan berita mengenai cadangan penggabungan dua bank tempatan - RHB Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd yang akan menjadi urus niaga perbankan terbesar negara, turut menyemarakkan keyakinan para pelabur selain menggalakkan pengaliran masuk dana asing ke Malaysia.

Dua bank berkenaan sudah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meneruskan rundingan penggabungan itu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula berkata, langkah BNM mengetatkan kawalan ke atas spekulator mata wang yang menggunakan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) pasaran luar pesisir untuk membuat spekulasi ke atas ringgit, membuahkan hasil apabila mata wang itu bertambah baik manakala pelabur portfolio asing juga mulai kembali.

Beliau berkata, banyak firma penyelidikan, bank pelaburan dan pengurus dana seperti BNP Paribas Investment Partners, Deutsche Bank, Western Asset Management dan Fidelity International turut menyuarakan keyakinan terhadap Malaysia.

"Pelabur portfolio asing juga sudah kembali sejak April lalu iaitu 10 peratus daripada wang berkenaan telah kembali kepada kerajaan Malaysia serta bon bank pusat.

"Kalangan firma penyelidikan, bank pelaburan dan pengurus dana semuanya sependapat bahawa bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat dan aliran keluar dana asing secara ketara telah berakhir," katanya semalam.

Beliau juga menyifatkan ringgit telah menunjukkan peningkatan secara berterusan tahun ini dan menjadi mata wang yang mencatat prestasi terbaik di peringkat serantau pada April 2017.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit bergerak antara paras 4.2705 dan 4.2860 berbanding dolar AS manakala bagi perbandingan asas Jumaat ke Jumaat, ia diniagakan lebih tinggi pada 4.2790/2820 berbanding dolar AS daripada 4.3440/3470, minggu lalu.

Unit tempatan itu ditutup kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama pada minggu ini.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0873/0901 daripada 3.0844/0886 pada Jumaat lepas namun naik berbanding yen Jepun kepada 3.8380/8417 berbanding 3.8452/8496 sebelum ini.

Ringgit merosot berbanding pound Britain kepada 5.5062/5105 daripada 5.4912/4955 sebelum ini dan lemah berbanding euro kepada 4.8015/8053 daripada 4.7859/7897, Jumaat lalu.

- BERNAMA

Berita Harian X