Khamis, 1 Jun 2017 | 5:50pm

Trend kejatuhan harga rumah sudah berakhir

PASARAN hartanah kediaman di Malaysia berpotensi untuk kembali mencatatkan arah aliran kenaikan harganya pada tahun ini, susulan sentimen keseluruhan yang bertambah baik, demikian menurut kaji selidik terbaharu Indeks Pasaran PropertyGuru (PMI).

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata arah aliran kejatuhan harga hartanah kediaman yang bermula sejak suku ketiga 2015 dilihat sudah menemui penamatnya pada awal tahun ini.

Katanya, berdasarkan kaji selidik yang dibuat oleh portal carian hartanah itu, terdapat peningkatan sebanyak 0.2 peratus harga hartanah kediaman di negara ini pada suku pertama 2017, berbanding suku keempat 2016.

PENGURUS Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez. - Foto Rosela Ismail
PENGURUS Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez. - Foto Rosela Ismail

Beliau berkata, ia sekali gus mengakhiri arah aliran kejatuhan harga hartanah sejak kemuncak 2015 yang berpunca daripada penyusutan nilai mata wang tempatan sehingga menjejaskan sentimen pasaran keseluruhannya.

"Kita akan mendapat bayangan yang lebih jelas sama ada arah aliran kenaikan harga hartanah akan kekal untuk jangka panjang menjelang akhir tahun ini.

"Adalah menarik untuk melihat keadaan ini berlaku selepas pasaran melalui tempoh yang suram sejak lebih setahun lalu," katanya kepada media selepas membentangkan hasil kaji selidik PMI suku pertama 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

PMI diperoleh daripada data meluas PropertyGuru, termasuk harga 250,000 hartanah kediaman yang disenaraikan di portal carian PropertyGuru.com.my.

Data itu kemudiannya dianalisis, dibahagi dan diindeks bagi memberikan gambaran pergerakan harga pada setiap suku tahun. Indeks berkenaan turut mengambil kira jumlah bekalan rumah kediaman sama ada daripada pasaran primer mahu pun jualan semula.

Mengenai pembiayaan akhir kepada pengguna, Sheldon berkata, terdapat persekitaran yang lebih positif di dalam pasaran hartanah sekarang ini memandangkan pembeli mendapat lebih banyak pilihan untuk mendapatkan pembiayaan yang diperlukan.

"Isu utama pemilikan rumah masih lagi mengenai kemampuan untuk membeli dan dalam hal ini, pembeli dilihat mempunyai lebih banyak pilihan (pembiayaan) untuk memiliki hartanah impian, terutama daripada pihak pemaju," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PMI adalah pandangan yang realistik mengenai sentimen pasaran kerana ia mengukur paras harga rumah yang diyakini oleh pemilik rumah atau pemaju akan mendapat perhatian daripada pasaran.

"Kami percaya pandangan yang diberokan oleh indeks ini boleh membantu pengguna lebih memahami pasaran hartanah,  sekali gus membantu merancang tempoh pembelian hartanah dengan lebih baik selain memberikan kesedaran mengenai pergerakan harga pasaran," katanya.

Kaji selidik terbaharu PMI mendapati tiga pasaran hartanah kediaman utama di negara ini iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Johor semuanya mencatatkan pergerakan meningkat dari segi harga pada suku pertama 2017.

Pasaran hartanah kediaman di Pulau Pinang pula mencatatkan penurunan sebanyak 0.7 peratus disebabkan kejatuhan harga rumah serta lambakan bekalan.

Menuju ke hadapan, Sheldon berkata, harga hartanah kediaman akan dipengaruhi oleh tekanan inflasi disebabkan kenaikan kos sara hidup, akses kepada pembiayaan dan persekitaran ekonomi makro.

 

Berita Harian X