Khamis, 25 Mei 2017 | 11:25pm

Kadar ringgit cermin asas kukuh ekonomi

KUALA LUMPUR: Ringgit ketika ini berada pada paras yang mencerminkan asas kukuh ekonomi Malaysia, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata, paras semasa ringgit itu sudah dijangkakan terutamanya selepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan peningkatan kukuh 5.6 peratus.

"Paras (ringgit) akan dicerminkan oleh kekukuhan ekonomi, kami membiarkan pasaran mencari parasnya sendiri dan ia akan banyak bergantung kepada permintaan dan penawaran dolar-ringgit," katanya selepas Majlis Anugerah Biasiswa Kijang Emas di sini, hari ini.

Beliau berkata, ringgit akan mencerminkan asas-asas ekonomi yang sangat kukuh ketika ini.

"Paras rizab antarabangsa juga bertambah baik kepada AS$97.3 bilion, yang mencerminkan mudah tunai dalam pasaran.

"Bagi bank pusat, jika kami melihat sebarang aliran masuk jangka pendek, kami akan berusaha untuk memastikan rizab antarabangsa kita mencukupi agar apabila mereka (pelabur asing) keluar, pasaran masih mempunyai mudah tunai yang mencukupi.

"Ini bukan perkara baharu, kami pernah melakukannya apabila terdapat aliran masuk besar-besaran ke dalam pasaran kewangan kita, kami mengumpul rizab antarabangsa kita untuk memastikan apabila pelabur asing meninggalkan pasaran, akan ada mudah tunai yang mencukupi," katanya.

Sejak November 2016 hingga April 2017, Muhammad berkata, meskipun aliran keluar besar-besaran dana, pasaran bon kekal stabil.

"Banyak entiti yang boleh membeli bon, jadi pasaran bon hampir tidak bergerak dan kekal stabil. Juga, mudah tunai dalam pasaran datang daripada bank pusat dan sistem perbankan," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X