Jumaat, 12 Mei 2017 | 5:47pm

Lancar projek RM1.7b tahun ini

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd bercadang melancarkan beberapa projek di Malaysia dan luar negara tahun ini dengan anggaran nilai keseluruhan RM1.7 bilion.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata walaupun berdepan situasi ekonomi mencabar, syarikat berusaha memfokuskan kepada sasaran pasaran untuk terus mengekalkan pertumbuhan yang mapan.

"Kami perlu lebih berhati-hati dengan pasaran, tetapi masih ada peluang yang cerah. Kami yakin orang ramai masih akan membeli (hartanah) jika disediakan dengan produk berkualiti dan harga berpatutan.

"Kami bercadang melancarkan antara enam hingga tujuh projek hartanah tahun ini dan dua daripadanya akan dilancarkan separuh kedua tahun ini," katanya pada sidang media selepas taklimat dan majlis memperkenalkan Arcoris Mont' Kiara di sini, hari ini.

Hadir sama, Rakan Kerjasama dan Timbalan Ketua Studio Foster + Partners, Jonathan Parr serta Pengarah Projek UEM Sunrise, Liong Kok Kit.

Anwar berkata, UEM Sunrise iaitu unit hartanah UEM Group juga menyasarkan jualan RM1.2 bilion tahun ini, di sebalik pertumbuhan perlahan pasaran hartanah.

Terdahulu, beliau turut mengumumkan kerjasama dengan Foster + Partners, bagi membangunkan projek komersial bercampur, Arcoris Mont'Kiara, membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion.

"Projek berkenaan membabitkan lima komponen bersepadu dan terletak kawasan eksklusif serta strategik di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

"Reka bentuk projek pembangunan revolusi itu dilaksanakan oleh Foster + Partners, iaitu firma seni bina dan reka bentuk berpangkalan di London.

"Syarikat berkenaan mempunyai rekod prestasi kukuh di peringkat global dan menghasilkan pelbagai karya seni di 75 negara seluruh dunia," katanya.

Anwar berkata, kerjasama antara UEM Sunrise dan Foster + Partners membuktikan komitmen kedua-dua syarikat untuk mencipta satu lagi  standard kecemerlangan global dalam membangunkan projek seperti Arcoris Mont Kiara.

"Projek berkenaan kini hampir siap sepenuhnya dan penyerahan dijangka dilaksanakan pertengahan bulan ini, " katanya.

INFO:

- Arcoris Mont'Kiara terdiri daripada lima komponen iaitu Arcoris Suites, Arcoris Soho, Arcoris Residences, Arcoris Plaza dan Hyatt House.

Berita Harian X