Selasa, 25 April 2017 | 9:49pm

SCM sasar urus 2,000 unit hartanah

KETUA Pegawai Operasi (Komersial) UEM Sunrise, Raymond Cheah. - Foto Zain Ahmed
KETUA Pegawai Operasi (Komersial) UEM Sunrise, Raymond Cheah. - Foto Zain Ahmed

KUALA LUMPUR: SCM Property Services Sdn Bhd (SCM), cabang pengurusan dan penyelenggaraan hartanah UEM Sunrise Bhd, menyasarkan tambahan 2,000 unit hartanah dalam pelbagai segmen untuk diurus serta diselenggarakan tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi (Komersial) UEM Sunrise, Raymond Cheah, berkata SCM menguruskan semua jenis segmen hartanah iaitu daripada residen hingga kelompok unit hartanah lebih besar.

Sehingga kini, katanya, syarikat itu menguruskan kira-kira 10,000 unit hartanah membabitkan 22 projek di seluruh negara, terutama di Lembah Klang.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 90 peratus unit yang diuruskan membabitkan pembangunan di bawah UEM Sunrise, manakala bakinya daripada pemaju lain.

"Justeru, tahun ini, kami meninjau tambahan 2,000 unit hartanah untuk diuruskan," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian perkhidmatan antara SCM dengan lapan agensi hartanah di Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib dan Pengurus Besar SCM, Paul Richard.

Cheah berkata, kebanyakan 2,000 unit tambahan itu adalah membabitkan projek pembangunan sekitar Lembah Klang, antaranya Damansara, Mount Kiara dan Cyberjaya.

Selain itu, katanya, SCM juga memperkenalkan pusat sehenti pelanggan 'Portal i-SCM' bagi memudahkan pelanggan berurusan seperti membuat semakan dan aduan kerosakan.

Terdahulu, berucap pada majlis berkenaan, Anwar berkata, kerjasama antara SCM dengan lapan agensi hartanah berkenaan bertujuan memberikan nilai tambah serta menyediakan pusat sehenti perkhidmatan pengurusan hartanah kepada bakal serta pelanggan sedia ada.

"Menerusi kerjasama berkenaan, SCM kini bersedia untuk menawarkan rangkaian sistematik dan perkhidmatan profesional lengkap, termasuk bagi aspek pengurusan bangunan, penyelenggaraan, keselamatan dan pengurusan insurans.

"Selain itu, ia turut meliputi pengurusan pengubahsuaian, peningkatan modal dan perkhidmatan pelanggan," katanya.

Beliau berkata, kepuasan pelanggan menjadi keutamaan syarikat dan pihaknya komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Lapan agensi hartanah yang menandatangani perjanjian itu adalah Asianland Realty Sdn Bhd; CBD Properties Sdn Bhd; Cutyspace Properties; Esprit Estate Agents Sdn Bhd; Kiara Realty; Metro Homes Sdn Bhd; Reapfield Properties Sdn Bhd dan Worldmart Properties

Info:

-   Industri pengurusan kemudahan di Malaysia dianggarkan bernilai RM4.3 bilion

- Perjanjian adalah bagi tempoh tiga tahun

Berita Harian X