Khamis, 13 April 2017 | 2:02pm

Edra Power meterai PPA, bina loji di Melaka

KUALA LUMPUR: Edra Power Holdings Sdn Bhd menerusi anak syarikatnya, Edra Energy Sdn Bhd memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) serta pembangunan loji janakuasa gabungan kitaran turbin gas terbesar Malaysia di Alor Gajah, Melaka.

DATUK Mark Lin.
DATUK Mark Lin.

"Kami kini menunggu untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) dan mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk penyenaraian," kata Datuk Mark Ling, Presiden dan Pengarah Eksekutif Edra Power, di sini, hari ini.

Edra Energy Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Edra Power Holdings, menandatangani PPA dengan TNB, membabitkan pembangunan loji tenaga baharu di Alor Gajah.

Bagi pembangunan itu, Edra Energy akan membina, membiayai, memiliki, mengendali dan mengurus loji tenaga turbin gas kitaran bergabung (CCGT) 2,242 MW yang apabila siap, akan menjadi loji CCGT terbesar di Malaysia.

Pemeteraian PPA adalah peristiwa penting bagi projek itu yang akan menyumbang dengan ketara ke arah keperluan tenaga negara, selain pembangunan Melaka, kata Ling.

"Kami mahu menggerakkan kepakaran dan sumber kami untuk memastikan penyiapan projek ini tepat pada masanya, yang dijangka menelan belanja kira-kira RM6 bilion.

"Kami juga komited dalam memastikan projek yang memberi manfaat kepada ekonomi tempatan. Untuk itu, kami menganggarkan perolehan bekalan dan perkhidmatan tempatan bagi pembinaan projek bernilai kira-kira RM1.5 bilion," katanya.

Ini adalah tambahan kepada pembiayaan projek itu yang sebelum ini diperoleh dari dalam negara.

Projek itu menggunakan teknologi turbin gas kelas terkini 'H', dan menjadi loji CCGT paling cekap di Malaysia apabila ia mula operasi secara komersial pada Januari 2021.

Kilang baharu akan dijana turbin gas GE 9HA.02 terkini bagi menghasilkan peralihan bahan api kepada tenaga elektrik yang paling menguntungkan dari segi kos.

Ia mengandungi tiga blok penjana, masing-masing mempunyai kapasiti 747.4 MW dan operasi komersial dijadualkan pada 1 Januari 2021 bagi blok penjanaan pertama; 1 Mac 2021 untuk blok kedua, dan 1 Mei 2021 bagi blok ketiga.

Menerusi PPA bertarikh 11 April 2017, Edra Energy akan menjual tenaga elektrik yang dijana daripada loji baharu itu kepada TNB untuk tempoh 21 tahun mulai tarikh operasi komersial blok penjanaan pertama.

Edra ialah anak syarikat milik penuh China General Nuclear Power Corporation (CGN), syarikat tenaga nuklear global terkemuka, dengan pelaburan lebih daripada 25GW dalam projek tenaga bersih dan boleh diperbaharui termasuk angin, solar, hidro, gas, arang batu cekap dan projek yang menggunakan bahan api-sel di China, Korea Selatan, Singapura, United Kingdom, Perancis dan Australia. - BERNAMA

Berita Harian X