Jumaat, 7 April 2017 | 7:20am

Saham AS catat penutup lebih tinggi

NEW YORK: Indeks utama Wall Street ditutup lebih tinggi sedikit hari ini, namun berakhir masih jauh daripada rekod penutup tertingginya.

Kenaikan berlaku walaupun pelabur bimbang dengan rundingan yang bakal diadakan antara Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Pemimpin dua ekonomi terbesar dunia itu akan bertemu satu sama lain di resort pemukiman Mar-a-Lago milik Trump di Palm Beach, Florida, hari ini bagi memulakan sidang kemuncak yang akan berakhir dengan sesi makan tengah hari. 

Pelabur bimbang menantikan berita hubungan perdagangan China-AS selain rundingan untuk membendung program senjata Korea Utara, demikian menurut peserta pasaran.

"Pelabur bimbang kerana ia boleh menjadi tidak seperti diharapkan memandangkan Presiden China adalah seorang ahli politik pintar dengan pengalaman luas dalam hal begini manakala pemimpin AS pula masih baharu," kata Presiden Empire Executions Inc di New York, Peter Costa.

Dow Jones Industrial Average ditutup meningkat  14.8 mata, atau 0.07 peratus kepada 20,662.95,  S&P 500 menokok 4.54 mata, atau 0.19 peratus, kepada 2,357.49 selepas mencecah sesi tertinggi 2,364.16 awal dagangan.

Nasdaq Composite menambah 14.47 mata, atau 0.25 peratus kepada 5,878.95.

- Reuters

Berita Harian X