Rabu, 5 April 2017 | 11:13pm

KWSP sertai projek pembangunan hartanah di Australia

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengukuhkan portfolio pelaburan hartanah di luar negara menerusi pengambilalihan 49 peratus kepentingan dalam syarikat hartanah berpangkalan di Australia, Yarra Park City Pty Limited (YPC).

Pengambilalihan kepentingan pada pertimbangan AUD$154 juta (RM523 juta) itu sejajar dengan strategi pengurus dana persaraan swasta berkenaan untuk menjadikan hartanah sebagai salah satu cabang pelaburannya untuk menjana pulangan kepada ahlinya.

YPC memegang hak pembangunan untuk projek pembangunan bercampur Melbourne Square, di Selatan Melbourne.

Sebanyak 51 peratus kepentingan YPC dipegang oleh PJ Development Holdings Bhd (PJD) menerusi anak syarikat milik penuhnya di Australia iaitu P.J. (A) Pty Limited (PJA) dan Equity & Property Investment Corporation Pty Limited (EPIC), yang mana 27.4 peratus ekuiti dimiliki PJA.

PJD pula adalah anak syarikat OSK Holdings Bhd (OSK).

Projek pembangunan bercampur Melbourne Square dijangka dibangunkan dalam lima fasa membabitkan tempoh 10 tahun dengan nilai pembangunan kasar AUD$2.8 bilion (RM9.5 bilion).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata pengambilalihan kepentingan YPC itu adalah pelaburan pembangunan hartanah kedua KWSP di luar negara selepas Battersea, London.

"Pembangunan hartanah seluas dua hektar di Southbank, Melbourne itu secocok dengan objektif jangka panjang kami dan menjadi tambahan yang baik untuk portfolio pelaburan KWSP.

"Permintaan yang semakin meningkat untuk kediaman di Melbourne, Australia akan membolehkan KWSP untuk menjana kembali untuk ahli," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh OSK, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan OSK, Tan Sri Ong Leong Huat berkata, projek pembangunan Melbourne Square adalah pembabitan ulung OSK ke Melbourne.

"Ini adalah projek penting untuk Melbourne dan ia menyediakan infrastruktur yang diperlukan oleh komuniti bandar ini. Kami gembira untuk bekerjasama dengan KWSP bagi projek ini.

"Kami harap dapat memberikan projek pembangunan yang berjaya dan menjadi kebanggaan semua, terutama rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X