Isnin, 3 April 2017 | 9:21pm

MRCB, Adani Realty bangun pusat konvensyen di India

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan Adani Realty memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka peluang membangunkan secara bersama pusat konvensyen di India.

Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, berkata MoU itu adalah penerokaan pertama kumpulan dalam peluang pelaburan di India.

"Kami percaya sudah menemui rakan kongsi perniagaan yang baik. Kerjasama ini akan melengkapi kepakaran yang kukuh dalam pembangunan berorientasikan transit, untuk memanfaatkan peluang yang besar di negara ini," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Salim menandatangani MoU itu bagi pihak MRCB manakala Adani Realty diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Ajay Munot.

MoU itu yang diadakan sempena Forum Perniagaan Malaysia-India di New Delhi hari ini, disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Menteri Perdagangan dan Industri India, Nirmala Sitharaman.

Adani Realty ialah cabang anak syarikat konglomerat India, Kumpulan Adani yang menumpukan bidang infrastruktur dan pembangunan.

Berita Harian X