Isnin, 3 April 2017 | 9:49am

Harga minyak dunia kembali susut

SINGAPURA: Niaga hadapan minyak susut dalam dagangan awal Asia pagi ini, berikutan kebimbangan terhadap lambakan bekalan global.

Ia susulan peningkatan jumlah cari gali di Amerika Syarikat (AS), memberikan petunjuk pertambahan pengeluaran minyak syal di negara itu, manakala dolar lebih kukuh juga memberi tekanan ke atas minyak mentah.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut lima cents kepada AS$50.55 setong menjelang 0012 GMT, selepas berakhir 25 cents lebih tinggi pada sesi sebelumnya.

Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent jatuh 11 cents kepada AS$53.42.

Kontrak Mac menutup sesi sebelumnya susut 13 cents kepada AS$$52.83 setong.

Kedua-dua kontrak mencatatkan penurunan sukuan terbesar sejak akhir 2015, pada suku berakhir Mac.

Niaga hadapan AS susut hampir enam peratus daripada suku sebelumnya, manakala Brent kehilangan tujuh peratus apabila peningkatan paras inventori mengatasi pemotongan output yang dibuat oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan OPEC.

Harga minyak mentah mencatatkan rali tiga hari minggu lalu di tengah-tengah jangkaan anggota OPEC dan bukan OPEC seperti Russia akan melanjutkan pemotongan pengeluaran melangkaui Jun.

-Reuters

Berita Harian X