Jumaat, 31 March 2017 | 10:50am

Harga minyak jatuh

SINGAPURA: Harga minyak jatuh, hari ini berikutan peniaga mengambil untung susulan peningkatan tiga hari berturut-turut.

Harga kontrak semasa Brent, penanda aras antarabangsa bagi minyak berada pada paras AS$52.83 setong, jatuh 13 cents berbanding penutup terakhirnya.

Di Amerika Syarikat (AS), kontrak niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) jatuh 10 cents kepada AS$50.25 setong.

"Minyak dilihat mencapai julat paras rendah sekitar AS$50," kata ANZ Bank, hari ini.

Peniaga berkata, terdapat peningkatan keyakinan bahawa Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC, bersetuju untuk meneruskan persetujuan pengurangan pengeluaran mereka bagi menyokong pengukuhan harga.

Pengeluar OPEC dan bukan OPEC, termasuk Russia bersetuju pada akhir tahun lalu untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.8 juta tong sehari pada separuh pertama tahun ini bagi mengurangkan lebihan bekalan global dan meningkatkan harga.

Namun, pengeluaran bekalan minyak alternatif, termasuk dari AS, meningkat dan keraguan bahawa Russia akan mematuhi pengurangan pengeluaran yang dijanjikan, mengekang pasaran daripada seimbang semula.

Bagaimanapun, dalam beberapa minggu lalu, terdapat peningkatan konsensus bahawa pengurangan bekalan akan diteruskan pada separuh kedua tahun ini dan Russia akan mematuhinya. - REUTERS

Berita Harian X