Khamis, 30 March 2017 | 7:32pm

Ringgit ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, sejajar prestasi mata wang serantau, berikutan kelemahan nilai euro melonjakkan permintaan terhadap dolar AS.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 4.4190/4220 berbanding dolar AS, daripada 4.4170/4210 semalam.

Pedagang berkata, pasaran kekal dibayangi ketidaktentuan berhubung tinjauan dasar fiskal AS seperti reformasi cukai Presiden Donald Trump dan jangkaan kenaikan lanjut dalam kadar faedah oleh Rizab Persekutuan.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit didagangkan bercampur-campur.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1677/1703 daripada 3.1665/1705 semalam dan susut berbanding pound British kepada 5.4959/5014 daripada 5.4908/4966 semalam.

Ringgit menokok berbanding euro kepada 4.7442/7488 daripada 4.7659/7716 dan lebih tinggi berbanding yen kepada 3.9732/9763 daripada 3.9778/9822. - BERNAMA

Berita Harian X