Selasa, 28 March 2017 | 10:41pm

Peraturan jualan singkat bon kerajaan mungkin dilonggarkan

KUALA LUMPUR: Malaysia pertimbang untuk melonggarkan peraturan berhubung penjualan singkat bon kerajaan bertujuan meningkatkan pasaran kewangan domestik.

Bank Negara Malaysia akan membenarkan syarikat-syarikat, termasuk syarikat insurans, melakukan jualan singkat ke atas bon kedaulatan bagi membantu mengurus pendedahan kadar faedah selain menjana lebih banyak dagangan, kata Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid dalam satu temu bual dengan Bloomberg pada 24 Mac lalu.

Bank pusat itu masih "menyediakan kecairan" kepada pasaran kewangan selepas langkah-langkah bertujuan membendung aktiviti spekulator dalam perdagangan ringgit dilaksanakan tahun lalu, katanya.

Pembuat dasar mencari kaedah baharu untuk membangunkan pasaran Malaysia dan membawa masuk dana selepas beberapa pelabur meninggalkan pasaran di tengah-tengah tindakan keras diambil kerajaan ke atas dagangan hadapan ringgit di luar pesisir November lalu.

Dana global menarik keluar lebih RM35 bilion (AS$8 bilion) daripada bon kedaulatan Malaysia dalam tempoh empat bulan hingga Februari, tempoh aliran keluar terpanjang sejak 2014.

Dana itu sebaliknya menambah pegangan mereka di pasaran serantau lain.

Langkah untuk membenarkan syarikat, termasuk syarikat insurans, melakukan jualan singkat ke atas hutang kerajaan akan meningkatkan kecairan yang juga memanfaatkan pelabur asing yang beroperasi di pasaran bon domestik, kata Adnan.

"Kita berharap untuk meningkatkan kecairan dalam pasaran domestik, dan dengan turut melaksanakan langkah liberalisasi lanjut ke atas pasaran domestik, kita akan menuju ke arah itu."

Bank Negara juga bercadang menyemak peraturan bagi memudahkan syarikat bersaiz kecil dan sederhana melakukan lindung nilai.

Ringgit melonjak daripada paras rendah 1998, dengan peningkatan 1.7 peratus tahun ini membantunya mencatat prestasi lebih baik berbanding peso Filipina dan rupiah Indonesia.

Ia menjejaki mata wang Asia lain termasuk baht Thailand, rupee India dan won Korea Selatan.

Adnan berkata, pembuat dasar tidak bimbang berikutan "pasaran ringgit masih dalam penyelarasan" dan kestabilannya berlaku dalam jangka waktu tiga hingga enam bulan sebagaimana yang dijangkakan pihak berkuasa.

"Agak sering juga kami menyediakan kecairan," kata Adnan.

"Ini berkemungkinan akan berterusan hinggalah pasaran kembali stabil. Kelihatannya ringgit lebih stabil," katanya sambil menambah apabila beberapa petunjuk pasaran sudah bertambah baik, campur tangan Bank Negara akan dikurangkan.

Bank Negara sudah mengambil beberapa langkah sejak November lalu bagi menyediakan keanjalan lindung nilai yang lebih besar di pasaran mata wang domestik dan bertekad untuk terus membangunkan pasaran kewangannya.

Naik turun tukaran asing berkurangan dengan pergerakan purata harian menyusut sekitar 53 mata pada Januari daripada 82 mata pada Disember, demikian menurut Jawatankuasa Pasaran Kewangan. - Bloomberg

Berita Harian X