Selasa, 28 March 2017 | 6:29pm

MAPEX  2017 Pahang tawar 3,199 unit hartanah

KENDERAAN jenis Toyota Unser remuk selepas berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 25.8 Jalan Kulai-Kota Tinggi berhampiran Loji Rawatan Air Semanggar, Kota Tinggi. - Foto Ihsan Bomba Johor
KENDERAAN jenis Toyota Unser remuk selepas berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 25.8 Jalan Kulai-Kota Tinggi berhampiran Loji Rawatan Air Semanggar, Kota Tinggi. - Foto Ihsan Bomba Johor

KUANTAN: Sebanyak 3,199 unit hartanah bernilai kira-kira RM1.16 bilion ditawarkan pada Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) Pahang 2017 di pusat beli-belah East Coast Mall di sini, bermula Khamis ini.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pahang, Chua Say Chai, berkata program tahunan itu berlangsung empat hari membabitkan 27 penyertaan pemaju hartanah dan perumahan di Pahang, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, daripada jumlah itu,  3,180 unit hartanah adalah di negeri ini manakala 15 unit di Kuala Lumpur dan empat unit di Terengganu.

 

"Projek hartanah ditawarkan di negeri ini membabitkan daerah Kuantan, Pekan, Muadzam Shah, Jerantut, Temerloh dan Karak... tiga daerah di Terengganu iaitu Kemaman, Paka dan Chendor dan di Taman Melawati di Kuala Lumpur.

"Setiap unit kediaman ditawarkan dengan harga mampu milik merangkumi rumah teres, rumah berkembar semi-d, banglo, pangsapuri, rumah kedai dan bangunan industri bagi memberi peluang pengunjung membuat pilihan bijak mengikut kemampuan mereka," katanya pada sidang media penganjuran pameran itu di sini, hari ini.

Say Chai berkata, pengunjung yang berminat memiliki rumah atau aset hartanah berpeluang menggunakan pameran ini sebagai platfom bagi memudahkan pencarian rumah idaman, di samping membuat perbandingan harga dalam pelbagai unit kediaman ditawarkan.

Berita Harian X