Khamis, 23 March 2017 | 7:30pm

DFTZ bantu PKS M'sia ke peringkat dunia

KUALA LUMPUR: Pembabitan Malaysia di dalam Platform Dagangan Elektronik Dunia (eWTP) melalui penubuhan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) bermatlamat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencari penyelesaian bagi memudahkan perdagangan global.

Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma, berkata penubuhan DFTZ akan memudahkan urusan import dan eksport produk PKS, di samping memudah cara urusan berkaitan kerajaan.

"Malaysia mempunyai impian dalam bidang ekonomi digital dan DFTZ akan menggalakkan penyertaan golongan muda melalui e-hab yang direka bentuk khusus bagi tujuan eksport.

"Pelaburan pertama (Alibaba) dalam DFTZ adalah penting, namun lebih penting adalah komitmen padu kami terhadap inisiatif ini. Kami menyediakan dana yang besar untuk eWTP," katanya pada sidang media selepas sesi Transformasi Masterclass II pada Forum Transformasi Global (GTF) di sini, hari ini.

Pada sesi itu, Ma berkata, masa depan ekonomi global akan ditentukan oleh bidang peruncitan, pembuatan, kewangan dan teknologi baharu.

 JACK Ma. - Foto Mohd Yusni Ariffin
JACK Ma. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Beliau yang juga penasihat ekonomi digital kerajaan Malaysia berkata, Asia mempunyai masa depan amat cerah untuk menguasai ekonomi global dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang memandangkan ada beberapa negara, termasuk Malaysia yang memanfaatkan sepenuhnya arah aliran industri semasa.

"Di dalam bidang peruncitan baharu, kita bercakap mengenai perdagangan elektronik (e-dagang). Mengapakah China begitu bagus dalam bidang peruncitan baharu? China tidak mempunyai industri peruncitan fizikal yang baik seperti di Amerika Syarikat (AS), maka kami memanfaatkan sepenuhnya e-dagang dengan menjadikan internet sebagai alat untuk menambah baik proses peruncitan.

"Situasi sama yang berlaku di Malaysia dan Indonesia kerana peniaga memanfaatkan sepenuhnya perniagaan secara dalam talian. Peruncitan baharu adalah gabungan logistik dan proses secara dalam talian," katanya.

Ma berkata, bidang pembuatan baharu pula akan menyaksikan segala produk boleh dihasilkan secara berskala dan mengikut keperluan atau "tailor-made".

Kaedah itu, katanya, akan mengubah wajah pelbagai industri tradisional yang sebelum ini amat bergantung kepada kuantiti."

Produk yang dihasilkan dalam skala yang besar, tetapi bernilai rendah dan berkos rendah, tidak akan mempunyai masa depan," katanya.

Beliau menjelaskan, bidang kewangan baharu pula akan menyaksikan keperluan pembiayaan bagi 80 peratus syarikat bersaiz kecil akan lebih diberikan tumpuan memandangkan syarikat sedemikian mempunyai potensi pertumbuhan lebih tinggi berbanding firma multinasional.

Justeru, katanya, bank akan menggunakan data bagi memperkayakan keperluan kewangan syarikat kecil yang sebelum ini sukar dicapai.

"Bank yang bergantung kepada sumber tradisional (syarikat besar dan multinasional), akan menghadapi masalah besar," katanya.

Teknologi baharu akan menyaksikan peralihan daripada penggunaan teknologi maklumat (IT) kepada teknologi data (DT).

IT akan memberikan kelengkapan tambahan kepada seseorang individu, namun DT amat berkuasa kerana teknologi baharu itu membolehkan peserta yang bersaiz kecil, menguasai pasaran pada masa depan.

"Lihat saja kepada Malaysia, Indonesia dan Filipina. Begitu ramai petani yang menggunakan DT untuk meningkatkan jaringan," katanya.

Dalam pada itu, Ma berkata, kerajaan perlu memberikan perhatian kepada rakyat berusia 20 tahun ke bawah dan syarikat yang mempunyai kurang daripada 30 kakitangan memandangkan golongan berkenaan akan mempunyai "suara" lebih berpengaruh dalam masa 10 hingga 15 tahun akan datang.

INFO

Nilai kekayaan Jack Ma: AS$22 bilion

Berita Harian X