Khamis, 16 March 2017 | 9:28am

Harga minyak mentah meningkat

TOKYO: Harga minyak mentah meningkat dalam dagangan awal Asia hari ini, meneruskan peningkatan daripada sesi terdahulu.

Ia susulan data rasmi menunjukkan bekalan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) susut daripada paras tertinggi.

Harga minyak meningkat semalam selepas laporan pasaran dan data rasmi memberikan sedikit harapan lebihan minyak global yang berlaku selama hampir tiga tahun akan berakhir, walaupun ia lebih perlahan dari jangkaan ramai.

Minyak mentah WTI AS naik 28 cents atau 0.6 peratus kepada AS$49.14 setong, melonjak 2.4 peratus daripada sesi terdahulu yang ditutup pada AS$48.86.

Niaga hadapan Brent naik 34 cents atau 0.7 peratus kepada AS$52.15. Ia mengalami kenaikan pertama dalam tempoh tujuh hari semalam dengan peningkatan 1.7 peratus.

Minyak penanda aras itu telah meningkat dari paras terendah sejak OPEC bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran pada hujung tahun lalu, walaupun pada awalnya bekalan pasaran masih kekal tinggi.

Data daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) menunjukkan bekalan minyak mentah AS susut minggu lalu, penurunan mingguan pertamanya selepas peningkatan selama sembilan minggu berturut-turut.

Inventori minyak susut kepda 237,000 tong pada minggu berakhir 10 Mac lalu. Penganalisis menjangkakan berlakunya peningkatan sebanyak 3.7 juta tong.

Inventori itu dipantau rapi oleh pelabur minyak bagi memastikan perjanjian OPEC untuk mengurangkan hasil itu boleh mengatasi masalah lebihan minyak global. - Reuters

Berita Harian X