Khamis, 16 March 2017 | 8:49am

Tesla rancang raih dana AS$1.15b

KETUA Eksekutif Tesla, Elon Musk. - Foto AFP
KETUA Eksekutif Tesla, Elon Musk. - Foto AFP

SAN FRANCISCO: Tesla mengumumkan rancangan untuk meraih dana bernilai AS$1.15 bilion (RM5.11 bilion) bagi membantu mempercepatkan pengeluaran kereta elektrik Model 3 untuk pasaran awam pada tahun ini.

Menurut Tesla, ia merancang untuk menawarkan AS$250 juta (RM1.11 bilion) saham biasa dan AS$750 (RM3.33 bilion) juta dalam bentuk pinjaman boleh ubah kepada ekuiti dengan penaja jamin diberikan pilihan untuk membeli tambahan 15 peratus daripada setiap penawaran.

Pengasas bersama yang juga Ketua Eksekutif Tesla, Elon Musk akan mengambil bahagian dengan membeli saham baru bernilai AS$25 (RM111) juta, menurut syarikat yang berpangkalan di California itu menerusi kenyataan.

Tawaran itu dijangka boleh meraih AS$1.15 bilion (RM5.11 bilion) untuk Tesla yang dikatakan akan menggunakan wang berkenaan bagi mengukuhkan kewangannya dan mengurangkan sebarang risiko berkaitan skala pesat perniagaan berikutan pelancaran Model 3. Dana itu juga akan digunakan untuk tujuan korporat am.

Model 3 keluaran Tesla sedang dalam perancangan untuk memulakan pengeluaran pada Julai ini, dengan jumlah pengeluaran akan meningkat kepada 5,000 unit kenderaan seminggu menjelang akhir tahun ini, kata eksekutif syarikat itu.

Harga Model 3 adalah AS$35,000 (RM155,000) di Amerika Syarikat (AS) dan ia jauh lebih rendah daripada harga model terdahulu iaitu model kenderaan elektrik S dan X.

Model 3 direka daripada daripada awal untuk menjadi lebih cekap untuk dihasilkan, satu langkah yang dibuat untuk mengatasi masalah pengeluaran.

Prestasi kewangan Tesla kembali merosot dalam tiga bulan terakhir tahun lalu walaupun pendapatan meningkat dengan tempahan model kereta elektrik mencecah paras tertinggi, menurut penyata kewangannya pada Februari.

Syarikat itu merekodkan kerugian AS$121.3 juta (RM539 juta) berbanding keuntungan AS$22 juta (RM97.76 juta) pada suku sebelumnya tetapi kerugian AS$320.4 juta (RM1.42 bilion) dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Peneraju automotif di AS, General Motors berharap dapat menyaingi model harga rendah Tesla dengan kenderaan elektrik keluarannya, Bolt. -AFP

Berita Harian X