Selasa, 14 March 2017 | 6:05pm
Kilang XINYI Glass Group Companies di Lipat Kajang, Jasin. - Foto NSTP/RAsul Azli Samad
Kilang XINYI Glass Group Companies di Lipat Kajang, Jasin. - Foto NSTP/RAsul Azli Samad

Syarikat China tambah pelaburan RM900 juta

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tiga dari kiri) diiringi Pengarah Urusan Xinyi Energy Smart (M) Sdn Bhd, Charles Zha (kiri) bersama delegasi melawat kilang XINYI Glass Group Companies di Lipat Kajang, Jasin. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tiga dari kiri) diiringi Pengarah Urusan Xinyi Energy Smart (M) Sdn Bhd, Charles Zha (kiri) bersama delegasi melawat kilang XINYI Glass Group Companies di Lipat Kajang, Jasin. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad

MELAKA: Syarikat pengeluar kaca terbesar China, Xinyi Glass Holdings Ltd, menambah pelaburan RM900 juta bagi projek penambahan pembangunan di kawasan Perindustrian Elkay, Lipat Kajang, Jasin.

Pelaburan fasa kedua membabitkan pemajakan tanah seluas 37.3 hektar itu adalah bagi memperbesarkan kilang sedia ada.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata syarikat berkenaan sebelum ini melabur RM900 juta bagi projek fasa pertama, sekali gus menjadi pelaburan yang terbesar dari luar diterima kerajaan Negeri Melaka dalam tempoh 15 tahun. Ia juga pelaburan pertama Xinyi Glass di luar China.

"Difahamkan, menerusi pelaburan fasa pertama, syarikat ini berjaya mengeluarkan sejumlah 1,200 tan produk kaca apung dan 900 tan kaca solar," katanya selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Xinyi Glass di Bilik Tun Mutahir, Seri Negeri, di sini, hari ini.

PKNM diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Sulaiman Md Ali, manakala Xinyi Glass diwakili Presiden Xinyi Energy Smart (M) Sdn Bhd, Datuk Gerry Tong.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNM, Datuk Azmi Hussain.

Idris berkata, kerajaan negeri terus mengalu-alukan penambahan pelaburan oleh syarikat itu yang kini menawarkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan, selain bakal menawarkan 600 lagi peluang pekerjaan tambahan.

"Apabila operasi kilang fasa kedua bermula pada suku pertama tahun depan dengan tambahan 2,000 tan produk kaca, ia akan menjadikan Melaka sebagai hab pengeluaran kaca terbesar di rantau Asia Tenggara," katanya.

Berita Harian X