Isnin, 13 March 2017 | 10:36am

Saham Asia mula dagangan berhati-hati

Dagangan Asia minggu ini dimulakan dengan berhati-hati berikutan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh menguatkan lagi jangkaan kenaikan kadar faedah AS minggu ini.

Ia juga didorong oleh kejatuhan harga minyak ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan setengah pada Jumaat lalu disebabkan oleh lebihan bekalan.

Indeks MSCI diniagakan tidak berubah manakala saham Australia susut dan saham teknologi di Korea Selatan meningkat.

Indeks Nikkei Jepun susut dengan pergerakan yang kurang memberangsangkan disebabkan oleh kejatuhan luar jangkaan dalam tempahan alatan pemesinan dan ia mencetuskan kebimbangan mengenai pemulihan ekonomi negara itu.

Saham global meningkat pada Jumaat lalu dengan indeks MSCI menokok 0.5 peratus dan menutup kerugian enam hari berturut-turut selepas laporan pekerjaan AS yang kukuh.

Pasaran kini sedang memberi tumpuan kepada kadar kenaikan faedah selepas bulan Mac.

Ahli strategi kanan di Sumitomo Mitsui Asset Management, Masahiro Ichikawa berkata pasaran kini sedang menumpukan bila Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah seterusnya dan sebarang petanda daripada Pengerusi Rizab Persekutuan, Janet Yellen akan dipantau rapi," katanya.

Menjelang hujung tahun 2017, dijangkan tiga kenaikan kadar faedah berlaku termasuklah yang hampir pasti dilaksanakan pada bulan ini.

Dalam satu tinjauan oleh Reuters, 12 daripada 23 peniaga menjangkakan kenaikan kadar kepada 1.00 hingga 1.25 peratus menjelang Jun ini manakala 10 peniaga lain menjangkakan langkah itu akan berlaku menjelang mesyuarat Persekutuan pada September depan.

Hasil Perbendaharaan AS susut sedikit pada Jumaat lalu disebabkan oleh pasaran yang telah menjangkakan angka pekerjaan yang kukuh.

Bagaimanapun, ia ditutup pada 2.584 peratus, tidak jauh daripada paras tertinggi dalam tempoh dua tahun iaitu 2.641 yang dicatatkan pada Disember 2015.

Harga bon global juga berada di bawah tekanan disebabkan oleh laporan bahawa beberapa pembuat dasar Bank Pusat Eropah (ECB) telah membincangkan kemungkinan kenaikan kadar faedah sebelum program pengurangan kuantitatifnya berakhir.

Hasil German Bund meningkat kepada 0.496 peratus pada Jumaat, menghampiri paras tertinggi dalam tempoh setahun yang dicatatkan pada Januari lalu iaitu 0.498 peratus.

Khabar angin mengenai kenaikan kadar ECB itu membantu meningkatkan nilai euro.

Mata wang tunggal itu didagangkan pada AS$1.0690 selepas mencecah paras tertinggi dalam tempoh sebulan pada Jumaat lalu iaitu AS$1.06995.

Dolar susut kepada 114.85 yen daripada paras tertinggi yang dicatatkan Jumaat lalu selepas Setiausaha Kewangannya, Wilbur Ross berkata Jepun akan menjadi senarai utama dalam perjanjian perdagangan AS. - Reuters

Berita Harian X