Khamis, 9 March 2017 | 8:32am

A4ANZ kekang kenaikan yuran lapangan terbang

GAMBAR fail, Ketua Pegawai Eksekutif Qantas Airways, Alan Joyce pada sidang media di Sydney, New South Wales, Australia, 23 Feb 2017. - Foto EPA
GAMBAR fail, Ketua Pegawai Eksekutif Qantas Airways, Alan Joyce pada sidang media di Sydney, New South Wales, Australia, 23 Feb 2017. - Foto EPA

SYDNEY: Syarikat penerbangan utama di Australia dan New Zealand membentuk satu kumpulan industri sokongan baharu bagi menghalang kenaikan yuran lapangan terbang yang dikenakan pemiliknya.

Lapangan terbang utama di kedua-dua negara itu kini dimiliki entiti komersial seperti Sydney Airport Holdings Ltd dan Auckland International Airport Ltd, berbanding di Amerika Syarikat (AS) serta beberapa bahagian di Eropah yang dimiliki kerajaan masing-masing.

Kerajaan tidak mempunyai kuasa mengendalikan yuran berkenaan di kedua-dua negara itu.

Laporan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia yang dikeluarkan minggu ini berkata, lapangan terbang utama di Australia menjana A$1.57 billion (AS$1.18 billion), meningkatkan pendapatan syarikat penerbangan sejak sedekad lalu.

Antara syarikat penerbangan yang terbabit dalam pembentukan kumpulan itu termasuk Qantas Airways Ltd, Air New Zealand Ltd, Virgin Australia Holdings Ltd dan Regional Express Holdings Ltd.

Kumpulan yang dikenali sebagai 'Airlines for Australia & New Zealand (A4ANZ)' itu diketuai bekas ketua pengawal selia suruhanjaya persaingan Australia, Graeme Samuel.

"Yuran dan caj lapangan terbang terus meningkat, manakala syarikat penerbangan menawarkan tambang lebih murah sejak lebih sedekad lalu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Qantas Airways, Alan Joyce, dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air New Zealand, Christoper Luxon, berkata keupayaan syarikat bersaing dihalang oleh legasi yang mementingkan pelaburan dan pemilikan di lapangan terbang utama.

Selain itu, kumpulan berkenaan juga membincangkan isu lain seperti penurunan cukai kerajaan ke atas penumpang dan akses pasaran antarabangsa dengan pesaing. - Reuters

Berita Harian X