Isnin, 6 March 2017 | 7:44pm

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang berhadapan tekanan pengambilan untung selepas faktor peningkatan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) diambil kira, kata pedagang.

Pada 6 petang, ringgit didagangkan pada 4.4460/4500 berbanding dolar AS daripada 4.4520/4570 pada Jumaat.

Pedagang berkata, Fed memberi kenyataan jelas yang mengejutkan Jumaat lalu berhubung peningkatan kadar faedah tetapi ia sudah pun diambil kira dengan segera oleh pasaran.

"Selepas empat hari dagangan menurun minggu lalu, ringgit menokok hari ini berikutan dolar AS menyusut disebabkan aktiviti pengambilan untung.

"Ini kerana jangkaan kadar faedah akan dinaikkan Fed minggu depan, sudah pun diambil kira," katanya.

Rizab Persekutuan akan bermesyuarat 14 dan 15 Mac, menyebabkan minat pelabur beralih kepada dolar AS lebih awal, fenomena biasa dalam pasaran tukaran asing.

Bagaimanapun, berbanding mata wang utama, ringgit ditutup lebih rendah.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1534/1565 daripada 3.1470/1523 minggu lalu dan susut berbanding yen kepada 3.9103/1148 daripada 3.8960/8018.

Ringgit turun berbanding euro kepada 4.7136/7183 daripada 4.6817/6883 dan lebih rendah berbanding pound British kepada 5.4504/4570 daripada 5.4439/4514 Jumaat lalu. - BERNAMA

Berita Harian X