Isnin, 6 March 2017 | 4:34pm

PSA Group beli Opel

PENINGKATAN penghantaran kereta Peugeot dan Citroen meningkat 44 peratus. - Foto Martin Meissner
PENINGKATAN penghantaran kereta Peugeot dan Citroen meningkat 44 peratus. - Foto Martin Meissner

PERANCIS: PSA Group bersetuju untuk membeli Opel daripada General Motors (GM) dalam perjanjian perniagaan bernilai 2.2 bilion euro (RM103.8 bilion), menjadikan gergasi automotif itu bersaing sengit dengan peneraju pasaran, Volkswagen.

Pengeluar kereta Peugeot dan Citroen itu berjanji akan menjadikan Opel dan jenama British Vauxhallnya kembali mencapai keuntungan dengan margin operasi sebanyak dua peratus dalam tempoh tiga tahun dan enam peratus menjelang 2026, disokong oleh penjimatan kos bersama sebanyak 1.7 bilion euro (RM802.6 bilion).

Ketua Eksekutifnya, Carlos Tavares, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dua pembuat kereta itu berkata, pihaknya yakin pemulihan Opel-Vauxhall akan meningkat secara signifikan dengan sokongan PSA Group.

Dengan perolehan itu, kumpulan dari Perancis itu mengatasi pesaingnya, Renault untuk muncul sebagai pembuat kereta kedua Eropah berdasarkan jualan, dengan pegangan pasaran sebanyak 16 peratus berbanding 24 peratus yang dimiliki Volkswagen.

Tahun lalu, PSA dan GM Europe mencatatkan pendapatan 72 bilion euro (RM3.39 trilion) dan 4.3 juta penghantaran kenderaan di antara mereka.

GM akan menerima 1.32 bilion euro (RM623 bilion) bagi perniagaan pengeluaran Opel dengan 650 juta euro (RM3.069 bilion) dalam bentuk tunai dan 670 juta euro (RM3.163 bilion) dalam waran saham.

Pengeluar kereta yang berpangkalan di Perancis itu dan BNP Paribas akan membayar lebihan 900 juta euro (RM424 bilion) bagi cabang pembiayaan Opel dan mengendalikannya secara usaha sama, disatukan sepenuhnya oleh bank Perancis itu.

Jualan Opel itu memuktamad langkah keluar GM daripada Eropah. Selepas lapan tahun hampir menjualkan Opel kepada Magna International, gergasi automotif yang berpangkalan di Detroit itu berhadapan tekanan pelabur untuk melepaskan perniagaan dan memfokus kepada peningkatan keuntungan daripada mengejar juara jualan global yang pada masa ini dipegang oleh Volkswagen.

Selepas menangkis rundingan penggabungan pada 2015 oleh Fiat Chrysler dengan sokongan ahli lembaga pengarah, ketua GM, Mary Barra bersetuju untuk menyasar pulangan minimum 20 peratus daripada modal pelaburan dan membayar lebih banyak tunai kepada pemegang saham.

Kedua-dua pembuat kereta itu yang telah berkongsi pengeluaran dengan rakan sekutu Eropah mengesahkan pada bulan lalu bahawa mereka sedang berunding secara terang-terangan mengenai pengambilalihan Opel dan jenama British Vauxhall oleh PSA, seterusnya mencetuskan kemungkinan pengurangan pekerjaan akan berlaku.

Transaksi itu juga menyaksikan GM mengekalkan kebanyakan defisit pencen Opel, yang dianggarkan bernilai AS$10 bilion (RM44.5 bilion). Dalam rundingan sebelum ini, pembuat kereta Amerika Syarikat itu telah berusaha untuk melepaskan bahagian yang lebih besar daripada liabiliti, menurut sumber.

Dana pencen yang lebih kecil akan dipindahkan kepada PSA bersama-sama dengan bayaran tiga bilion euro (RM14.16 bilion) untuk pembayaran penuh, kata syarikat itu pada Isnin.

GM juga akan mengambil caj perakaunan berjumlah AS$4 (RM18.86 bilion) berhubung perjanjian berkenaan yang dijangka dimuktamadkan pada hujung tahun ini. -Reuters

Berita Harian X