Khamis, 23 Februari 2017 | 8:13pm

Brent meningkat 70 cents kepada AS$56.54

LONDON: Harga minyak naik selepas data Amerika Syarikat (AS) menunjukkan penurunan tidak dijangka dalam inventori.

Ia sekali gus menggambarkan lebihan global mungkin akan berakhir selepas usaha yang dilakukan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengurangkan pengeluaran.

Penanda aras minyak mentah Brent meningkat 70 cents setong kepada AS$56.54 pada 1025 GMT, kembali pulih selepas jatuh 82 cents, semalam.

minyak mentah AS dicatat 70 cents lebih tinggi pada AS$54.29 setong.

Kedua-dua penanda aras itu menghampiri julat paras tinggi AS$4 dalam dagangan setakat ini menggambarkan tempoh turun naik yang rendah sejak OPEC dan pengeksport lain bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran.

OPEC dan pengeluar lain termasuk Russia bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sekitar 1.8 juta tong sehari (bpd) dalam usaha mengatasi lebihan bekalan yang berlaku sejak dari lebih dua tahun.

Setakat ini, OPEC masih akur dengan keputusan itu. Bagaimanapun pengeluar lain terutama syarikat minyak syal dari AS telah meningkatkan pengeluaran.

Data perindustrian semalam menunjukkan inventori minyak mentah AS susut 884,000 tong pada minggu ke-17 kepada 512.7 juta, berbanding jangkaan penganalisis iaitu peningkatan sebanyak 3.5 juta tong. - Reuters

Berita Harian X