Rabu, 22 Februari 2017 | 4:37pm

Anak syarikat YTL Power beli 51 peratus pegangan Albion Water UK

KUALA LUMPUR: Wessex Water Ltd (WWL), anak syarikat milik penuh tidak langsung YTL Power International Bhd telah membeli pegangan 51 peratus Waterlevel Ltd dalam Albion Water Ltd untuk STG227,505.21 (RM1.26 juta).

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, YTL Power berkata, berikutan pengambilalihan itu, Albion menjadi anak syarikat WWL dan anak syarikat tidak langsung syarikat berkenaan.

Albion yang ditubuhkan pada 14 September 1995 di England dan Wales, adalah pembekal air berlesen, menawarkan air runcit, air kumbahan, perparitan serta perkhidmatan alam sekitar yang lebih meluas.

YTL Power berkata, pembelian itu dijangka tidak mempunyai kesan penting ke atas pendapatan, aset bersih serta penggearan kumpulan itu untuk tahun kewangan semasa. - BERNAMA

Berita Harian X